DR Muhammad Radzi. FOTO Arkib NSTP
DR Muhammad Radzi. FOTO Arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Dua produk kecantikan ditarik daripada penjualan di negara ini kerana mengandungi racun merkuri dan tretinoin.

Ringkasan Berita
  • KKM mengarahkan dua produk kecantikan ditarik kerana mengandungi merkuri dan tretinoin.
  • Produk itu adalah krim muka Ailas Wild Rose Petal dan krim malam Daesha (moisturizer).
  • Penjual yang melanggar peraturan boleh didenda atau dipenjara.
  • Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, dua produk kecantikan itu adalah krim muka berjenama Ailas Wild Rose Petal dan krim malam Daesha (moisturizer).

    "Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik berkenaan kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

    "Susulan daripada itu, notifikasi produk kosmetik berkenaan sudah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dr Muhammad Radzi berkata, kedua-dua produk kecantikan itu mengandungi racun yang boleh menyebabkan kerosakan organ dalaman.

    "Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

    "Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit. Sementara itu, bagi produk yang mengandungi tretinoin pula ia perlulah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan," katanya.

    Katanya, mana-mana produk yang mengandungi tretinoin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini seperti boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, menggelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

    "Justeru penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran kosmetik berkenaan dengan serta-merta.

    "Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

    "Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

    "Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

    Dr Muhammad Radzi menegaskan, orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik itu dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan.

    Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 5:21 PM