ZAHIN mahu mewakili MPC di LTdL tahun depan. FOTO Facebook
ZAHIN mahu mewakili MPC di LTdL tahun depan. FOTO Facebook
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Mempunyai susuk tubuh yang berketinggian 1.86 meter (m), pelumba pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Zahin Wahhi memasang impian untuk menjadi pelumba lebuh raya terkemuka negara.

Malah dia tidak menyesal meninggalkan tugas sebagai kru kereta kebal bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk beralih sebagai pelumba basikal negara.

Memulakan karier sebagai pelumba basikal bukit (MTB), Zahin kini mahu mengharumkan nama negara bersama MPC di Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan.

Bagaimanapun dia sedar ia bukan satu tugas yang mudah kerana perlu bersaing dengan sembilan pelumba yang lain yang rata-ratanya adalah bekas pelumba Sapura Cycling Team (TSC) yang dibubarkan sebelum ini.

"Saya akan cuba berlumba sebanyak mungkin dalam perlumbaan Jelajah UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) tahun depan dalam usaha untuk mengumpul pengalaman.

"Saya tahu bukan mudah tapi saya perlu merealisasikan impian saya untuk berlumba di LTdL.

"Jadi saya perlu buktikan kemampuan saya dengan berikan keputusan terbaik untuk pasukan," katanya.

Zahin yang juga anggota ATM berkata, dia sudah menyertai beberapa perlumbaan jelajah di luar kalendar UCI bersama MPC sejak pasukan itu yang menggantikan TSC yang dilancarkan Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 2:29 PM