ZAWAWI harap MPC boleh buat yang lebih baik berbanding TSC. FOTO NSTP
ZAWAWI harap MPC boleh buat yang lebih baik berbanding TSC. FOTO NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal lebuh raya, Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Zawawi Azman mengharapkan tahun 2024 akan membawa tuah yang bermakna dalam kariernya apabila bersama pasukan berkenaan untuk mencipta kejayaan lebih bermakna.

Dengan pengalaman Zawawi ada, dirinya bersedia untuk menurun ilmu serta berkongsi pengalaman bersama pelumba muda bagi membimbing mereka dan dirinya turut berharap pasukan MPC akan menyertai lebih banyak perlumbaan sama ada di dalam mahupun luar negara.

"Tahun depan, saya kembali bersama MPC. Fokus saya, harap MPC boleh buat yang lebih baik berbanding Team Sapura Cycling (TSC) sebelum ini.

"Saya adalah antara pelumba dalam pasukan pertama menyertai Team Sapura dan sekarang, kekal bersama MPC, memang saya paling lama bersama Akmal (Hakim Zakaria).

"Dalam pasukan kali ini (MPC), ramai pelumba baharu. Boleh kata 80 peratus muka baharu. Seperti saya, saya orang lama, jadi saya harap dengan adanya bakat baharu ini, kita boleh sama-sama bersaing secara sihat," katanya.

Tambah Zawawi, musim 2023 bukan sesuatu yang mudah apabila melalui pelbagai rintangan dan cabaran sepanjang tahun berkenaan.

"Tahun 2023, memang dari awal tahun sampai hujungnya agak bergelora. Ada pasang surut tetapi dalam karier berbasikal saya, ini adalah tahun yang paling mencabar.

"Mungkin (2024) boleh dapat menyertai lebih banyak perlumbaan lagi seperti tahun-tahun sebelum COVID-19. Dengan banyak perlumbaan, kita boleh tahu di mana had kemampuan kita.

"Saya tak kisah perlumbaan di luar ataupun di luar negara. Apa yang penting perlumbaan bukan seperti tahun-tahun sebelum ini, ada jarak masa yang lama (dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan) ataupun dibatalkan,"katanya.

Untuk maklumkan, pada pertengahan tahun ini, TSC diasaskan Sayuti Zahit terpaksa membubarkan pasukan atas faktor gagal mendapatkan tajaan baharu selepas penaja utama Sapura menamatkan penajaan pada Februari.

Namun mereka tidak perlu menunggu lama apabila menerima penajaan baharu untuk menubuhkan pasukan baharu MPC pada Ogos.

Selain Zawawi, turut menyertai barisan pelumba MPC adalah Akmal Hakim, Ariff Danial Noor Roseidi, Mohammad Faiz Fakhri Omar, Muhammad Zahin Wahhi, Mior Muhammad Hazwan Hamzah, Muhammad Syawal Mazlin, Mohamad Saari Amri Abd Rasim, Ahmad Syazrin Awang Ilah dan Zulfikri Zulkifli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 2:42 PM