Noraini (depan tengah) bersama wakil media yang menyertai kejohanan
Noraini (depan tengah) bersama wakil media yang menyertai kejohanan

Klang: TV3 muncul juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 serta Piala Pusingan pada Kejohanan Boling Antara Media yang berlangsung di Klang Bowling Harbour Place, Jumaat lalu.

Kejohanan anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) itu menyaksikan 24 pasukan yang diwakili lima pemain termasuk pengurus bersaing mengambil bahagian.

Tempat kedua dimenangi Kumpulan Awani manakala ketiga RTM Bowlers. Kemenangan itu membolehkan Awani membawa pulang RM1,000 serta piala manakala RTM menerima RM800 dan piala.

Turut menerima saguhati berupa wang tunai RM100 adalah pasukan Sinar Karangkraf, Media Prima, Team Metro, Media Power, Sinar Harian, MSSB dan Rogue Serpents.

Manakala acara membabitkan kategori ketua jabatan pula dimenangi Team YDP sementara kedua Group Cool dan En Fairuz (ketiga).

Noraini (empat dari kiri) menyampaikan replika hadiah kepada juara
Noraini (empat dari kiri) menyampaikan replika hadiah kepada juara

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Yang Dipertua MPK, Datin Paduka Noraini Roslan.

Noraini dalam ucapannya menzahirkan terima kasih kepada sokongan pihak media dan menyifatkan program bersama media itu dapat mengeratkan ukhwah di kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi media.

"Setiap tahun MPK tidak ketinggalan menganjurkan acara bersama media ini sebagai tanda penghargaan di atas kerjasama antara PBT dan wakil media.

"Secara tidak langsung menerusi program ini, kami dapat mengenali lebih dekat lagi peranan pihak media selain dapat berkerja sama lebih erat pada masa akan datang," katanya.

Turut hadir Timbalan YDP, Tuan Zaireezal Ahmad Zainuddin dan ketua-ketua jabatan dalaman MPK.

Acara turut mendapat kerjasama barisan penaja antaranya 99 Speedmart dan MBI selain dimeriahkan dengan cabutan bertuah dan tayangan filem, Wonka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 11:47 AM