PEMENANG ‘Jom Bowling Bank Rakyat - Final’ bergambar bersama hadiah masing-masing.
PEMENANG ‘Jom Bowling Bank Rakyat - Final’ bergambar bersama hadiah masing-masing.
Pizan Mustapa

Melaka: Dengan tujuan mengeratkan hubungan bersama media, Bank Rakyat tampil dengan penganjuran acara ‘Jom Bowling Bank Rakyat - Final’ yang berlangsung di Pusat Bowling Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh baru-baru ini.

Sebanyak 20 pasukan terpilih untuk bermain di pusingan akhir selepas masing-masing mengharungi enam pertandingan awal dan antara pasukan yang layak ialah Kumpulan Media Prima, Kumpulan NSTP, Kumpulan Utusan, Kumpulan Karangkraf, Sinar Harian, RTM, BERNAMA serta Astro Awani.

Walaupun kejohanan akhir itu diadakan di luar Lembah Klang namun ia tetap meriah dan mendapat sambutan daripada peserta yang bertanding.

Rata-rata peserta berpuashati dengan kelainan yang ditonjolkan Bank Rakyat selepas pusingan awal diadakan di U-Bowl, One Utama, Damansara.

“Kita membuat kelainan dari segi venue pertandingan di luar Lembah Klang dan ia mendapat sambutan baik daripada semua media. Kami merancang untuk menambah baik kejohanan ini pada masa akan datang,” kata Eksekutif Perhubungan Awam dan Penjenamaan Korporat Bank Rakyat Noor Hafizah Mohd Mazni.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengurus Bank Rakyat Cawangan Ayer Keroh Azman Md Yassin, Pengurus Bank Rakyat Cawangan Masjid Tanah Hamdan Daud, Pengurus Bank Rakyat Cawangan Jasin Masitah Maskan dan Pengurus Perhubungan Awam dan Penjenamaan Korporat Bank Rakyat Nizam Abu Samah.

Pasukan Sweepers RTM muncul juara dengan 2,133 jatuhan pin sekali gus membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM1,200 serta hamper manakala News TV3 yang menduduki tangga kedua dengan 2,006 jatuhan pin menerima wang tunai RM1,000 dan hamper.

Tempat ketiga dimenangi Karangkraf 1 dengan 1,960 jatuhan pin dan membawa pulang wang tunai RM800 serta hamper manakala tempat keempat dan kelima dimenangi BERNAMA Multimedia (RM200 dan hamper) dan Harian Metro (RM200 dan hamper) selepas masing-masing melakukan 1,924 dan 1,917 jatuhan pin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 8:01 AM