Ruwaida Md Zain


Klang: Pasar raya Econsave Cash and Carry (Econsave) dijangka akan memiliki 100 cawangan pasar raya di seluruh negara menjelang penghujung tahun hadapan.

Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam berkata, setakat ini, sebanyak 88 cawangan sudah dibuka termasuk di Pandamaran yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Noraini Roslan hari ini.

"Selain Econsave Pandamaran yang dirasmikan hari ini, kita sudah membuka beberapa cawangan di negeri lain termasuk Kubang Kerian, Kelantan; Chemor, Perak; Bandar Sri Botanik, Selangor, Angsana Mall, Ampang Baru.

"Sehingga penghujung tahun ini, akan ada 93 cawangan, bermakna lima lokasi lagi akan dibuka tahun ini.

"Tetapi sebelum penghujung tahun hadapan, kita akan ada 100 cawangan di seluruh negara, hari ini cawangan ke 88," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Econsave Pandamaran yang disempurnakan oleh Noraini bersama Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong di sini, hari ini.

Yang turut hadir, dua Pengarah Eksekutif Econsave iaitu Lai Sak Coon dan Lai Sia Ling yang juga anak kepada pengasas Econsave, Lai Poh Tian.

Mas Imran berkata, pada masa ini setiap tahun dianggarkan enam hingga tujuh cawangan dibuka dan Econsave Pandamaran antara cawangan besar kerana turut menempatkan ibu pejabat pasar raya itu.

"Dengan pembukaan rasmi cawangan ke 88 di Pandamaran ini, Econsave terus menawarkan pelbagai produk segar dan barangan keperluan lain.

"Kita juga menempatkan semula ibu pejabat di Econsave Pandamaran yang sebelum ini terletak di Econsave Kampung Jawa.

"Kami, berharap dengan pembukaan cawangan ini kami berharap ia dapat membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan ini dan seterusnya memberikan pengguna untuk membeli barangan pada harga yang murah," katanya.

Noraini Roslan (tiga dari kiri) diiringi Cha (dua dari kanan) dan Mas Imran Adam (kiri) pada Perasmian Pasaraya Econsave Pandamaran di Pasaraya Econsave Pandamaran, Pelabuhan Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Noraini Roslan (tiga dari kiri) diiringi Cha (dua dari kanan) dan Mas Imran Adam (kiri) pada Perasmian Pasaraya Econsave Pandamaran di Pasaraya Econsave Pandamaran, Pelabuhan Klang. FOTO FAIZ ANUAR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 5:58 PM