NORZA mahu tumpukan peranan di pentas antarabangsa. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
NORZA mahu tumpukan peranan di pentas antarabangsa. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Aida Adilah Mat

[email protected]

Kuala Lumpur: Selepas enam tahun menjawat jawatan sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria hari ini mengumumkan akan mengundurkan diri dari badan induk itu selepas berakhir temasya Olimpik Paris, 2024.

Malah beliau turut memaklumkan akan melepaskan jawatan sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), selepas berakhirnya temasya Olimpik Los Angeles 2028.

Perkara itu disuarakan oleh Norza selepas Mesyuarat Majlis BAM yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Keputusan itu diambil bagi membolehkan beliau memberi tumpuan yang lebih khusus dalam memainkan peranan di peringkat antarabangsa.

"Beberapa bulan lalu, saya dilantik sebagai sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia (BA) dan beberapa hari lalu pula dalam Majlis Olimpik Asia (OCA).

"Saya mahu tumpukan peranan di pentas antarabangsa dan saya akan melepaskan jawatan presiden selepas berakhirnya Sukan Olimpik Paris 2024," kata Norza yang memegang tampuk pimpinan BAM sejak April 2017.

Pelantikannya itu bersesuaian dengan klausa 13.2 Perlembagaan Badminton Asia yang menetapkan individu dilantik sebagai Presiden Kehormat hendaklah pernah berkhidmat dengan sebuah organisasi, memiliki pengetahuan dan pengalaman serta pencapaian yang boleh memberikan impak kepada BA.

April lalu, Norza dilantik sebagai Presiden Kehormat BA, sekali gus akan memanfaatkan badan induk badminton Asia itu yang bakal menerima kepakaran Norza terutamanya dalam bidang pemasaran dan penajaan, pengurusan acara serta pembangunan antara negara anggota.

Sementara itu, dua hari lalu, Norza dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sukan untuk Semua, Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi penggal 2023 hingga 2027.

Menerusi pelantikan itu, Norza secara automatik akan berada dalam Lembaga Eksekutif OCA.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 3:59 PM