NAIB Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill. -FOTO NSTP
NAIB Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemergian Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Allahyarham Datuk Abu Samah Abd Wahab satu kehilangan besar buat sukan berbasikal negara dan ia diakui oleh Naib Presiden badan induk berkenaan, Datuk Amarjit Singh Gill.

Menurut Amarjit, Allahyarham seorang yang amat berdedikasi dan memberikan segalanya selama kira-kira 40 tahun demi pembangunan sukan berbasikal bukan sahaja di dalam negara, malah peringkat antarabangsa.

"Pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada komuniti berbasikal dan akan dirasai oleh kita semua. Beliau terkenal dengan kerendahan hatinya. Allahyarham adalah mentor saya yang hebat, penasihat dan tokoh kebapaan yang sentiasa ada untuk mendapatkan pandangan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujar Amarjit, Allahyarham berkhidmat dalam pelbagai kapasiti dalam Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) sebagai Setiausaha Agung dan Naib Presiden selama bertahun-tahun termasuk sebagai Presiden ACF sejak 2001 hingga 2003.

"Ketika menziarahinya Jumaat lalu, meskipun kelihatan lemah Allahyarham tetap memikirkan mengenai sukan berbasikal dan kerjanya," katanya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 82 tahun di Hospital Mahkota Melaka, 7 malam semalam selepas setahun menghidap kanser prostat tahap empat.

Abu Samah memegang jawatan Presiden PKBM sejak 1990 dan melakar sejarah baharu dalam arena sukan tanah air apabila menerima Anugerah Merit ACF pada Mei lalu, sekali gus menjadi tokoh sukan pertama di negara ini yang menerima Anugerah Merit daripada badan induk dunia, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), benua (ACC) dan Persekutuan Berbasikal Asean (ACF).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 2:08 PM