Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mencapai persetujuan untuk menganjurkan Kejohanan Lumba Basikal Asia 2018 di Velodrom Nilai, Negeri Sembilan.

Perlumbaan terbesar peringkat Asia dalam acara trek itu pada awalnya dijadualkan di Velodrom Rakyat, Ipoh selepas Persatuan Berbasikal Negeri Perak (PCA) membida melalui PKBM dan mendapat hak penganjuran bulan lalu.

Bagaimanapun keputusan menganjurkan perlumbaan itu difahamkan melanggar Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 kerana dilakukan tanpa kebenaran dan kelulusan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berpendapat Velodrom Nilai lebih lengkap dari segi kemudahan.

“Keputusan mengubah venue ini dicapai selepas dibincangkan pada mesyuarat exco, Sabtu lalu. PCA diminta mengemukakan hujah untuk dianjurkan di Ipoh.

“Ada exco berpandangan lebih baik Velodrom Nilai menjadi venue ACC 2018 sesuai dengan statusnya sebagai sebuah velodrom tertutup bertaraf dunia.

“Selepas perbincangan, akhirnya PCA menarik diri sebagai penganjur dengan PKBM mengambil alih tugas itu,” menurut Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab (gambar).

Sambil memuji pendirian PCA yang bersikap terbuka, Abu Samah yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menjelaskan badan induk itu akan mengambil beberapa pendekatan positif bagi memastikan ACC 2018 berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 7:27 AM