KEJOHANAN yang berlangsung dari 9 hingga 12 November itu menyaksikan Malaysia meraih tujuh pingat emas, lima perak dan tiga gangsa. FOTO Ihsan Facebook Hannah Yeoh
KEJOHANAN yang berlangsung dari 9 hingga 12 November itu menyaksikan Malaysia meraih tujuh pingat emas, lima perak dan tiga gangsa. FOTO Ihsan Facebook Hannah Yeoh
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kejayaan meraih tujuh pingat emas dalam Kejohanan Pencak Silat Asia ke-7 di Dubai, semalam memberi mesej positif buat kem negara.

Pengurus pasukan, Bibi Aishah berkata, keputusan cemerlang yang diraih dalam kejohanan itu memberi gambaran yang baik terhadap Kejohanan Silat Dunia 2023 yang akan berlangsung pada 25 Disember depan.

Menurutnya, meskipun mereka di latih oleh jurulatih baharu tetapi ini adalah penyertaan terbaik Malaysia dalam kejohanan sama di Kashmir pada 2021 di mana ketika itu Malaysia hanya menang lima pingat emas sahaja.

"Lima pingat emas dihadiahkan Khairi Adib (pemenang enam kali Sukan Sea), kemudian pesilat baru, Muhammad Helmi yang kami ketengahkan selepas Al-Jufferi bersara.

"Helmi menunjukkan persembahan yang sangat baik sebab baru kali pertama bertanding kejohanan besar. Kami juga sasarkan dia untuk menang emas dalam kejohanan dunia nanti.

"Selain itu Nur Farah Mazlan pemenang pingat emas Sukan Sea 2023 serta Nur Syazeera Hidayah Idris walaupun mereka pesilat lama tetapi akhirnya berjaya raih pingat pertama untuk dirinya dan negara.

"Sebelum ini kita pernah dapat paling tinggi pun lima pingat emas dalam kejohanan peringkat antarabangsa. Ini adalah kejohanan terbaik yang pernah saya bawa dan paling banyak Malaysia raih pingat," katanya.

Terdahulu, kejohanan yang berlangsung dari 9 hingga 12 November itu menyaksikan Malaysia meraih tujuh pingat emas, lima perak dan tiga gangsa.

Dua pingat emas hadir menerusi acara seni oleh Nur Syafiqah Hamzah (tunggal puteri) dan gandingan regu lelaki Danial Azroy dan Danial Azray (ganda putera).

Pada hari terakhir kejohanan, kem silat negara meneruskan rentak cemerlang untuk tambah lima lagi pingat emas dalam acara olahraga yang dimenangi Khairi Adib Azhar (putera B), Muhammad Helmi (putera E), Nor Farah Mazlan (puteri A), Nur Syazeera Hidayah Idris (puteri B) dan Siti Shazwana Ajak (puteri D)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 6:28 PM