SKUAD negara cemerlang mengungguli kategori IPT Antarabangsa.
SKUAD negara cemerlang mengungguli kategori IPT Antarabangsa.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Malaysia jelas berada dalam kelas tersendiri apabila menguasai kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Antarabangsa dengan menyapu lima emas daripada lapan acara dipertandingkan pada Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri di Square One Shopping Mall, Batu Pahat, semalam.

Pencapaian itu sekali gus meletakkan kontingen negara semakin hampir untuk mengulangi pencapaian tahun lalu apabila muncul juara bagi kategori antarabangsa selepas meraih lima emas di Kuantan.

Lima emas masing-masing daripada silat seni Putera dan Puteri wanita yang membolehkan skuad negara mengatasi 13 pasukan luar termasuk Indonesia, Thailand, Brunei, Timor Leste, Yaman, Pakistan dan lain-lain.

Pesilat negara, Fatin Far
hana yang menewaskan pesilat Indonesia, Alvi Rukmana dalam acara solo kreatif puteri apabila mengutip 192 mata untuk mengatasi pencabarnya dengan kelebihan satu mata, mengakui gembira dengan pencapaiannya itu.

“Syukur kerana dapat menyumbangkan pingat buat negara biarpun jurang mata hanya dipisahkan dengan satu saja.

“Apapun, saya gembira dan pingat emas ini saya hadiahkan kepada semua pihak yang banyak menyokong,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Bagi pasangan negara dalam kategori ganda putera Taufiq Abdul Latif dan Mohd Noor Saufi, kejayaan menumbangkan pasangan Indonesia amat bermakna apatah lagi dapat memperbaiki pencapaian tahun lalu apabila sekadar merangkul perak.

“Tahun lalu kami hanya raih perak dan kemenangan emas ini cukup bermakna bagi kami. Kami akan teruskan prestasi ini dan cuba mengekalkannya mana tahu ada rezeki boleh menang lagi selepas ini,” kata pasangan emas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 8:38 AM