ARIANA gigih berlatih selepas menempah tiket ke Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
ARIANA gigih berlatih selepas menempah tiket ke Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pelajaran dan sukan adalah dua kombinasi amat penting bagi atlet jika ingin terus berjaya di Malaysia bagi jangka masa panjang selain kekal relevan.

Pemanah muda negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi berpendapat, seseorang itu tidak boleh hanya memberi tumpuan dalam satu bidang sahaja, tetapi perlu seimbang dan selari kedua-duanya.

Pemanah berusia 19 tahun itu menyedari perkara berkenaan, sekali gus menitikberatkannya agar boleh menjamin kariernya di dalam sukan dengan lebih cerah.

"Kamu perlu kedua-duanya iaitu pelajaran dan sukan. Macam saya, saya memang minat dengan sukan dan ada masa saya memang rasa malas belajar.

"Siapa sahaja tidak rasa malas belajar, tetapi tetap kena ada benda itu (pelajaran).

"Sebab apa yang saya simpan dalam mindset (pemikiran) saya, selepas saya jadi atlet, saya perlu ada sesuatu (kerjaya) dan itu pastinya datang daripada pelajaran. Sebab sukan bukan untuk selama-lamanya," katanya dalam sembang sukan bersama Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Ketika ini Ariana mengikuti pengajian peringkat diploma dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal di German-Malaysian Institute (GMI), Selangor.

Selain itu, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu berharap sukan memanah akan terus berkembang dan mendapat sambutan lebih menggalakkan daripada orang ramai, satu hari nanti.

Ariana akan beraksi dalam acara recurve selepas mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi Kejohanan Benua Asia di Bangkok, Thailand pada November 2023.

Sebelum ini, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin mengharapkan atlet muda seperti Ariana dan penerjun, Bertrand Rhodict Lises dapat menampilkan persembahan cemerlang untuk memburu kedudukan terbaik di Paris 2024.

Ariana akan menyertai Sirkit Piala Dunia WA (World Archery) di China dan Korea Selatan serta dijangka menjalani kem latihan di Turkiye sebelum ke Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 8:48 PM