ZARIF Syahir (tiga dari kanan) bersama Madhuri (tiga dari kiri) selepas dipilih menerima anugerah Olahragawan dan Olahragawati UPM.
ZARIF Syahir (tiga dari kanan) bersama Madhuri (tiga dari kiri) selepas dipilih menerima anugerah Olahragawan dan Olahragawati UPM.
Amirul Fazli Zulkafli


Serdang: Pemanah negara, Muhamad Zarif Syahir Zolkepeli optimis mampu mendapatkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara recurve menerusi Kejohanan Piala Dunia Memanah 2024 Peringkat 3 di Antalya, Turkiye, tahun hadapan.

Pada kejohanan itu, tiga slot ditawarkan dan ia sebagai peluang terakhir untuk merebut tiket ke Paris.

Bagi Zarif, dengan masa yang ada, dia kepada jurulatihnya akan memberi fokus kepada beberapa aspek agar boleh tampil dengan prestasi terbaik dalam kejohanan akan datang.

Malah, dia enggan memikirkan untuk berada di dalam Program Road To Gold (RTG), sebaliknya fokus kepada tujuan utama terlebih dahulu.

"Setakat ini, insya-Allah peluang masih ada dan kami akan memanfaatkan latihan untuk membaiki kesilapan.

"Untuk berada dalam RTG adalah cabaran untuk mengejar ranking 10 terbaik dunia, cuma ketika ini kami akan fokus layak ke Olimpik terlebih dahulu," katanya ketika ditemui di Majlis Anugerah Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-37, hari ini.

Zarif dipilih sebagai olahragawan selepas meraih pingat emas dalam Kejohanan Asia World Ranking Tournament bagi acara recurve individu dan dua pingat emas di Kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 dalam acara recurve individu dan berpasukan.

Sementara itu, atlet karate kebangsaan, P Madhuri diangkat sebagai Olahragawati selepas cemerlang meraih emas dalam kejohanan Kejohanan Kebangsaan Makaf dan Kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 dalam acara kumite.

Atlet karate, Siti Nur Azwani Nor Azli menerima anugerah Bintang Harapan Wanita manakala pemenang Anugerah Bintang Harapan Lelaki, Sadat Marzuqi Ajisan (Olahraga).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 7:08 PM