AKSI Nurul Hidayah pada suku akhir, hari ini. FOTO AIDA ADILAH MAT
AKSI Nurul Hidayah pada suku akhir, hari ini. FOTO AIDA ADILAH MAT
Aida Adilah Mat


Hangzhou, China: Pingat pertama negara di temasya Sukan Asia Hangzhou dinafikan dengan ketidakadilan mutu pengadilan dalam acara teakwando.

Atlet poomsae wanita negara, Nurul Hidayah Abdul Karim menjadi mangsa sukan subjektif apabila ketika dia yakin dapat melangkah ke separuh akhir, pengadil memutuskan kemenangan berpihak kepada atlet Iran, Marjan Salahshouri.

Hidayah dan Marjan mencatatkan keputusan mata yang sama selepas tamat dua pertarungan iaitu 7.780 mata namun pengadil memutuskan Marjan selaku pemenang dengan kelebihan 0.03 kerana persembahannya.

Jurulatih negara, Jin Jun Beom cuba melakukan protes namun tidak dibenarkan kerana penganjur menegaskan tiada sebarang perubahan akan berlaku dan mereka hanya dapat menggantung pengadil berkenaan daripada menjalankan tugas.

"Saya tahu Hidayah yang patut menang. Pada pertarungan kedua, persembahan Hidayah sempurna dia tidak melakukan sebarang kesilapan. Tapi saya lihat atlet Iran ada buat silap.

"Saya mahu buat protes sebab Hidayah tak buat silap. Tidak adil untuk dia namun keputusan tidak boleh diubah dan ia amat mengecewakan selepas usaha keras yang mereka buat untuk menghadapi Sukan Asia ini," kata Jin.

Sementara itu hanya air mata menjawab kecewakan atlet dari Bintulu, Sarawak berkenaan namun terpaksa akur kerana poomsae adalah sukan subjektif.

"Ini bukan kali pertama ia berlaku kepada saya. Sudah banyak kali terjadi. Kali ini saya sudah buat yang terbaik dan tiada kesalahan dalam aksi saya.

"Masa markah pertama keluar saya rasa pelik, sebab mata Iran lagi tinggi, saya rasa saya tak buat apa-apa kesalahan. Tapi dia ada sedikit ketidakseimbangan. Saya pelik sebab perbezaan mata 0.3 itu kalau bagi kami sangat jauh.

"Tapi pengadil sebenarnya juga mempunyai atlet pilihan mereka. Keputusan yang amat memeritkan tapi terpaksa diterima.

"Jika saya dapat mara ke separuh akhir, satu pingat sudah pasti dalam genggaman saya kerana penganjur menyediakan dua gangsa dalam acara ini," katanya.

Sementara itu Hidayah mara ke separuh akhir apabila menewaskan atlet Hong Kong, Chu Lok Yee. Hidayah merekodkan 7.7000 mata berbanding lawan 7.470.

Untuk rekod, Nurul Hidayah bersama seorang lagi wakil negara, Jason Loo layak untuk ke Sukan Asia kerana mempunyai prestasi dan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Tamatnya aksi Hidayah dan Jason yang turut kecundang di suku akhir dalam acara teakwando yang berlangsung di Pusat Pameran dan Kebudayaan Sukan Lin'an, bermakna tamat sudah perjuangan atlet negara dalam acara itu di temasya Sukan Asia kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 5:44 PM