ALCARAZ bersorak selepas menewaskan Tsitsipas di suku akhir Terbuka Perancis, hari ini. FOTO AFP
ALCARAZ bersorak selepas menewaskan Tsitsipas di suku akhir Terbuka Perancis, hari ini. FOTO AFP
AFP

Paris: Novak Djokovic dan Carlos Alcaraz akan berentap dalam pertarungan dinanti-nantikan ramai di separuh akhir Terbuka Perancis, Jumaat ini.

Djokovic yang memburu gelaran ketiga Terbuka Perancis dan gelaran Grand Slam ke-23, kembali bangkit setelah tewas pada set pertamanya untuk mengalahkan pemain pilihan ke-11, Karen Khachanov, 4-6, 7-6 (7/0), 6-2, 6-4.

Alcaraz yang menjadi pilihan menjuarai kejohanan kali ini mengatasi pilihan kelima, Stefanos Tsitsipas, 6-2, 6-1, 7-6(5) dalam aksi suku akhir, hari ini.

Djokovic yang bintang Serbia berusia 36 tahun akan tampil di separuh akhir kali ke-12 di Roland Garros.

"Ini adalah perlawanan yang dinantikan ramai orang. Ia sudah pasti cabaran terbesar buat saya di kejohanan ini, setakat ini," kata Djokovic, yang tewas kepada Alcaraz pada pertarungan tunggal mereka di Madrid, tahun lalu.

"Jika anda mahu menjadi yang terbaik, anda mesti mengalahkan pemain terbaik. Sudah tentu, dia adalah lelaki yang perlu ditewaskan di sini. Saya menunggu detik penting itu."

Sementara itu, Alcaraz berkata dia sedikit kehilangan fokus pada hujung set ketiga menentang Tsitsipas.

"Dia mula bermain dengan lebih baik dan memberi masalah kepada saya," kata Alcaraz.

"Saya gembira dapat bangkit semula daripada masalah itu dan terus fokus untuk bermain pada tahap terbaik."

Alcaraz yang memburu gelaran utama kedua sedar cabaran hebat menantinya untuk mengatasi Djokovic.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 11:20 AM