KENNETH berbual dengan anaknya menerusi panggilan video. FOTO FB Firdaus Wong Wai Hung
KENNETH berbual dengan anaknya menerusi panggilan video. FOTO FB Firdaus Wong Wai Hung
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Rintihan bekas jaguh skuasy negara, Kenneth Low yang menanggung rindu kerana sudah 10 tahun tidak bertemu dengan isteri dan anaknya terlerai apabila dia akhirnya dapat berhubung dengan mereka, hari ini.

Kenneth sebelum ini meminta bantuan daripada rakyat Malaysia untuk menjejaki isterinya, Kelly Ismawati Ismail dan anak mereka, Muhammad Nico Low menerusi Facebook pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Fung.

Berkongsi perkembangan terbaharu, Firdaus memaklumkan perkhabaran gembira bahawa bekas juara kebangsaan itu sudahpun berjaya berhubung dengan isteri dan anaknya itu.

"Alhamdulilah. Kenneth sudah berjaya berhubung dengan isteri dan anaknya. Sebentar tadi saya membuat panggilan video antara Kenneth dan mereka.

"Insya-Allah kami di MRM (Multiracial Reverted Muslims) akan aturkan agar mereka dapat berjumpa di Sabah dalam masa terdekat. Saya secara peribadi akan bersama Kenneth ke sana. Jazakumullahu Khairan di atas doa dan bantuan sahabat semua," tulis Firdaus.

Kenneth yang sebelum ini mencuri perhatian warganet apabila bekas jaguh skuasy yang pernah membanggakan negara akhirnya terpaksa berkerja sebagai tukang cuci untuk menampung kehidupannya.

Kenneth, 44, bergelar juara kebangsaan sebanyak enam kali mengalami masalah kesihatan akibat strok yang menyebabkan masalah koordinasi dan kemahiran motor, ketidakupayaan kognitif dan gangguan ingatan jangka pendek.

Terdahulu Kenneth menerusi status dimuat naik dalam laman facebook Firdaus, memohon bantuan orang ramai untuk membantu mencari isterinya dan anaknya yang berasal dari Batu Sapi, Sandakan, Sabah.

Firdaus memaklumkan Kenneth sangat merindui isteri dan anaknya dan amat berharap dapat bertemu dan bersatu dengan mereka semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 4:52 PM