KENNETH dan Phyllis Zerr. FOTO Agensi
KENNETH dan Phyllis Zerr. FOTO Agensi
AP

Washington: Suami isteri warga emas dari Missouri maut dalam kebakaran apabila suaminya enggan meninggalkan isterinya ketika rumah mereka terbakar dan lantai yang menjadi laluan untuk melarikan diri runtuh, kata pegawai bomba.

Kenneth dan Phyllis Zerr, kedua-duanya berusia 84 tahun meninggal dunia dalam kebakaran Khamis lalu, di rumah mereka di New Melle, Missouri, kira-kira 59 kilometer di barat St Louis.

"Ia satu tragedi, kisah cinta yang tragis," kata Ketua Bomba New Melle, Dan Casey.

Beliau berkata, mangsa lelaki pasti boleh keluar.

"Keluarga tahu dia boleh keluar, tetapi dia memilih untuk menemani isterinya," katanya.

Kenneth Zerr menghubungi talian kecemasan untuk melaporkan kebakaran, membuka pintu untuk anggota bomba masuk dan kemudian kembali kepada isterinya yang menggunakan kerusi roda.

Dia menyumbat tuala di bawah pintu dalam usaha yang sia-sia untuk menghalang asap, kata Casey.

Kenneth Zerr tidak dapat mengangkat isterinya dan akhirnya lantai bilik tidur runtuh, memerangkap mereka di dalam bilik mandi, kata Casey.

Bomba berdepan asap tebal ke bilik tidur tetapi terpaksa berundur apabila lantai mula runtuh ketika mencari pasangan itu.

"Bapa berjaya menghubungi talian kecemasan dan bapa saya cuba membantu ibu keluar dari rumah dan mereka terperangkap," anak mereka, Andy Zerr, memberitahu KSDK-TV.

Andy berkata, pihak berkuasa memberitahu ayahnya untuk keluar dari rumah.

"...dan ayah saya berkata 'Saya tidak akan meninggalkan isteri saya,' dan tinggal bersamanya sehingga akhir," katanya.

Pasangan itu meraikan ulang tahun ke-63 perkahwinan mereka, pada September lalu.

Anggota bomba berkata mereka meninggal dunia akibat terhidu asap.

Punca kebakaran sedang disiasat tetapi pegawai percaya ia tidak disengajakan dan bermula berhampiran perkakas di ruangan bawah tanah, kata Casey.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 11:08 AM