KENNETH (kanan) dipercayai mengalami masalah kesihatan akibat strok. FOTO Ihsan FMT
KENNETH (kanan) dipercayai mengalami masalah kesihatan akibat strok. FOTO Ihsan FMT
Aida Adilah Mat


Sepang: Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) memaklumkan bahawa mereka tidak pernah lepas tangan berhubung kes membabitkan bekas pemain kebangsaan, Kenneth Low yang kini terpaksa bekerja sebagai tukang cuci untuk menampung kehidupan sehariannya.

Setiausaha Kehormat SRAM, Mohd Nafzahizam Adnan ketika ditemui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika menyambut ketibaan skuad remaja negara pulang daripada Kejohanan Remaja Dunia berkata, sejak bekas pemain itu memutuskan untuk menamatkan kariernya sebagai pemain kebangsaan, SRAM sentiasa mengikuti rapat perkembangannya.

Cuma apa yang dilakukan oleh SRAM perkara itu tidaklah dimaklumkan dan diuar-uarkan kepada umum untuk perhatian semua pihak.

Katanya, selepas Kenneth memutuskan untuk berhenti bermain, SRAM menawarkan kontrak untuknya menjadi jurulatih kepadanya sekitar tahun 2003 dan 2004.

Beliau kemudiannya berhenti sebagai jurulatih kebangsaan apabila ditawarkan menjadi jurulatih Kuala Lumpur (KL) sebelum berhijrah ke Bangkok, Thailand dan kembali menjadi jurulatih KL dan Pahang selepas ini.

"SRAM tidak pernah lepas tangan malah kami cuba bantu apa yang boleh kepadanya.

"Malah saya sendiri bersama beberapa pemain kebangsaan yang lain seperti Nafiizwan Adnan, Timothy Arnold pernah berlatih di bawah bimbingannya.

"Namun apa yang menjadi penghalang besar kepada dia adalah masalah kesihatan yang dialami iaitu masalah koordinasi dan kemahiran motor, ketidakupayaan kognitif dan gangguan ingatan jangka pendek menyebabkan syarikat-syarikat tidak dapat mengambilnya dia bekerja.

"Untuk SRAM tawarkan jawatan jurulatih sekarang tak boleh sebab keupayaan dari segi mental dan motor skilnya yang agak perlahan dan ada ketika kerja mencuci pun dia perlukan masa," katanya.

Justeru Nafzahizam berkata, SRAM akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan apa tindakan yang boleh dilakukan selepas ini untuk membantu Kenneth yang kini sedang bekerja di Pusat Memanah di Glo Damansara milik Jeffrey Kok dengan gaji yang ditawarkan sekitar RM1,500 sebulan.

Antara yang dipertimbangkan adalah untuk membantu dia menjalani pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui sejauh mana tahap kesihatannya ketika ini.

"Apa yang penting ketika ini membantu dia menjalani pemeriksaan dulu cuma untuk bantu 100 peratus dari segi kewangan itu agak susah kerana kita juga ada atlet-atlet lain yang perlu diberi perhatian.

"Untuk mendapatkan penajaan juga bukan mudah terutama skuasy bukan sukan Olimpik. Tapi kami tetap akan bantu apa yang boleh," katanya.

Beliau dipercayai mengalami masalah kesihatan akibat strok dan dilaporkan tidak mempunyai wang untuk melakukan ujian bagi menentukan tahap kerosakan pada otaknya.

Pernah bergelar pemain skuasy yang cemerlang dan menduduki ranking keempat di Asia dan ke-38 di dunia, Kenneth kini bekerja sebagai seorang pembersih lantai, cermin, pintu, meja dan kerusi di tempat kerjanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 2:37 PM