KENNETH menerima sumbangan dari Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin. -FOTO Yakeb
KENNETH menerima sumbangan dari Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin. -FOTO Yakeb
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bekas jaguh skuasy negara Kenneth Low jelas mempunyai semangat lawan yang tinggi apabila akan terus berjuang untuk melawan penyakitnya selepas disahkan menghidap penyakit multiple sclerosis (MS), penyakit yang menyerang sistem saraf pusat.

Menerusi perkongsian Kenneth, beliau sudah pun menjalani beberapa siri ujian terhadap penyakit yang dihidapinya sebelum ini.

"Perjalanan saya selepas ini akan bertambah sukar dan menyakitkan tetapi saya akan tetap berjuang melawannya dengan semangat seorang ahli sukan," katanya.

Bekas jurulatih kebangsaan itu, berkata dia berkongsi perkara itu itu bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai MS, satu keadaan sistem saraf pusat yang mengganggu aliran maklumat dalam otak dan antara otak dengan badan.

Sebagai penyakit yang mengganggu otak dan saraf tunjang, ia boleh menyebabkan pelbagai masalah ke atas penglihatan, gerakan lengan dan kaki, serta keseimbangan.

Sebelum ini, Kenneth mengalami masalah kesihatan akibat strok yang menyebabkan masalah koordinasi dan kemahiran motor, ketidakupayaan kognitif dan gangguan ingatan jangka pendek.

Dia kini bekerja sebagai tukang cuci sejak dua tahun yang lalu dengan gaji sebanyak RM1,500 sebulan.

Selepas berita kesusahan dialami Kenneth disiarkan, bulan lalu, orang awam membuat sumbangan yang berjaya mengumpul sebanyak RM170,000 bagi membantu meringankan bebannya.

Kenneth, berkata dana itu akan digunakan untuk kebajikan dirinya dan empat individu sudah bersetuju untuk menguruskan dana berkenaan bagi pihaknya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, pihaknya akan membantu mempercepatkan temujanji untuk Kenneth di hospital kerajaan temasuklah memulangkan kos ubat yang perlu dibeli dari farmasi swasta.

Mengikut rekod, Kenneth adalah bekas juara skuasy kebangsaan sebanyak enam kali pada tahun 1980-an dan 1990-an dan pernah menduduki ranking keempat di Asia dan 38 dunia.

Pekerjaan pertamanya adalah dengan Persatuan Raket Squasy Malaysia (SRAM) sebagai jurulatih kebangsaan, selepas itu dia mengendalikan pasukan Wilayah Persekutuan.

Kemudian, dia menjadi jurulatih pasukan Thailand, Pahang, dan Perak sebelum kehidupan menjadi sukar untuknya disebabkan kesihatan yang semakin merosot.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 1:17 PM