MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO MOHD FADLI HAMZAH
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Sukhairi Thani


Sepang: Pendekatan 'formula' sasaran tanpa mengira warna pingat yang diterapkan di Sukan Asia Hangzhou mungkin akan digunapakai pada temasya seterusnya termasuk di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pendekatan baharu berbanding memberi tumpuan kepada sasaran pingat emas itu dilihat berjaya mengurangkan tekanan dihadapi kontinjen di temasya besar dan bagi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pihaknya akan sentiasa mengutamakan kepentingan setiap atlet.

"Ini tidak dibuat (sasaran tanpa mengira warna pingat) tidak dibuat kerana mengikut 'style' baharu atau apa. Ia adalah nasihat daripada NSSU (Universiti Sains Sukan Nippon) kepada kita dan kita, kalau bercakap dengan atlet di sana pun, atlet kata apabila kita ada cara baharu ini, mereka rasa tekanan itu tidak wujud untuk mereka sebelum bertanding.

"Banyak membantu mereka dan juga kali ini, kerana sasaran bukan kita lihat daripada pingat emas sahaja, setiap pemenang pingat termasuk gangsa pun, mereka rasa diraikan dan itu penting," kata Hannah dalam sidang media pencapaian Sukan Asia Hangzhou, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

"Jadi, kalau perkara itu baik untuk atlet kita, kita akan teruskan (untuk temasya yang akan datang)."

Kontinjen negara membawa pulang 32 pingat iaitu enam emas, lapan perak dan 18 gangsa sekali gus melepasi sasaran 27 pingat yang disasarkan sebelum berlepas ke Hangzhou.

Malaysia menamatkan temasya dengan berada di kedudukan ke-14 daripada 45 negara manakala tuan rumah China muncul selaku juara keseluruhan apabila meraih 201 emas, 111 perak dan 71 gangsa.

Jepun muncul selaku naib juara keseluruhan dengan 52 emas, 67 perak dan 69 gangsa manakala Korea Selatan berada di tangga ketiga, 42 emas, 59 perak dan 89 gangsa.

"Saya ucapkan terima kasih bagi pihak kerajaan Malaysia kepada atlet yang berjuang habis-habisan untuk menangkan pingat bagi negara, ada yang patah jari dan ada juga mata tercedera.

"Pembaharuan dan kaedah baharu yang dilaksanakan adalah berdasarkan cadangan pakar NSSU ini, membuahkan hasil. Apa sahaja yang kami buat, mesti ada yang tak gembira kerana ada perubahan tetapi kita tak akan takut pada perubahan jika ia mendatangkan kebaikan kepada atlet.

"Keutamaan KBS adalah mengutamakan kesejahteraan atlet Malaysia. Kalau kita letak sasaran tinggi, kita dikritik tak realistik... kalau letak sasaran rendah, kita dikritik tidak mempunyai kemahuan.

"Kalau tak letak sasaran pula, kita dianggap tiada keyakinan dan kalau sasar serta hasilnya itu tepat, itu bukan sukan lagi, ini mungkin sihir namanya," kata Hannah yang turut memaklumkan wakil NSSU akan hadir bagi bersama-sama menilai prestasi kontinjen pada bulan depan.

"Bulan depan pakar NSSU akan datang sekali lagi untuk kita membuat penelitian setiap keputusan diperoleh di Hangzhou. Dari situ, kita akan pastikan persiapan untuk Sukan Asia 2026 di Jepun bermula dari sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 5:19 PM