SUMALI (dua dari kiri) menjawab soalan pada sidang media, semalam.
SUMALI (dua dari kiri) menjawab soalan pada sidang media, semalam.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Sukan Asia lalu di Palembang (2018), kami dapat (pingat) emas, takkan la hari ini saya sasarkan regu kita untuk Sukan Asia kali ini perak? Nanti orang cakap kenapa perak, dulu dapat emas?"

Demikian tegas Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan yang kekal dengan pendirian meletakkan sasaran emas untuk acara antara regu serta satu perak bagi acara regu berpasukan di temasya Sukan Asia Hangzhou, China bermula 23 September ini.

Ia jauh lebih berani berbanding keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk hanya meletakkan sasaran keseluruhan 27 pingat tanpa sasaran spesifik terutama emas seperti kebiasaannya, yang diumumkan Ketua Kontinjen (CDM) ke Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt, semalam.

Jelas Sumali, perkiraannya cukup mudah iaitu skuad negara tampil pada temasya kali ini selaku juara bertahan, sekali gus agak pelik seandainya meletakkan sasaran perak hanya kerana Thailand mengambil bahagian dalam acara antara regu kali ini berbanding tidak menyertainya pada 2018.

"Saya berkeyakinan sebab regu pertama negara dalam acara berpasukan di Sukan Sea Vietnam, kami kalahkan Thailand . Maknanya peluang itu masih ada sekiranya barisan pemain pada hari pertandingan bermain dengan betul-betul agresif dan mempunyai semangat juang tinggi.

"Jadi saya kira tak mustahil kami dapat pingat emas sebab cabaran kami hanyalah Thailand. Tak cantik, tak eloklah kalau saya kata sekarang saya sasarkan perak," katanya pada sidang media semalam.

Jelas Sumali, setiap atlet menyedari tidak boleh mengelak daripada berdepan tekanan terutama apabila bertemu Thailand dan perkara itu adalah lumrah.

"Jadi masalah tertekan ini tak timbul sama ada di Sukan Asia atau Sukan Sea. Bila kami masuk gelanggang, kadang-kadang bertemu Indonesia pun kami rasa tertekan sebab rasakan boleh menang.

"Pada peringkat Sukan Asia ini apa-apa boleh berlaku sebab dalam sukan tiada yang mustahil. Pada saya, bila kami ada sejarah boleh mengalahkan Thailand, maksudnya kami masih boleh mengalahkan mereka.

"Sebab itu, saya tak boleh ambil kira kami terpaksa letak (sasaran) perak sebab Thailand masuk (acara antara regu). nampak sangat kami sudah mengalah dari segi moral, kenapa kami mesti) takut? Kami kena yakin dengan apa yang kami ada," katanya.

Pada sidang media semalam, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, alasan kepada keputusan tidak mengumumkan sasaran spesifik adalah bagi mencontohi amalan beberapa negara termasuk kuasa besar dunia yang turut tidak meletakkan sasaran kepada atlet mereka selain ia memberikan tekanan berlebihan kepada satu-satu atlet itu sekiranya sasaran emas diletakkan kepada mereka.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bagi acara antara regu bersama-sama pemenang pingat gangsa edisi lalu, Singapura dan Myanmar manakala Thailand pula berada dalam Kumpulan B bersama-sama Filipina, India dan Myanmar.

Pada edisi di Palembang-Jakarta, skuad sepak takraw negara membawa pulang satu pingat emas dalam acara regu lelaki dan satu perak menerusi regu berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 1:46 PM