PAHANG Rangers bakal menentang JDT pada final Sabtu depan.
PAHANG Rangers bakal menentang JDT pada final Sabtu depan.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pasukan Pahang Rangers menepati ramalan melangkah ke final Piala Futsal Malaysia 2023 selepas menewaskan Terengganu dengan agregat 14-3 pada saingan separuh akhir.

Selepas menang mudah 7-0 pada separuh akhir pertama di gelanggang sendiri, kecemerlangan skuad bimbingan jurulatih Gerard Casas itu diteruskan apabila menjinakkan lawan 7-3 di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

Pada pertemuan di tempat lawan semalam, pemain kebangsaan Muhammad Ridzwan Bakri menjadi pemusnah buat Pahang Rangers apabila menyumbang tiga gol pada minit kelima, enam dan 14.

Kehebatan pelawat selaku juara Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023 dijelmakan dengan empat gol lagi jaringan Khaiyum Khaimi pada minit ke sembilan, Akmarulnizam Idris (m-13) Hamdin Zarif Mahmun (m-38) dan Mahadir Harahap Khairuddin (m-39).

Tiga gol tuan rumah, disumbang oleh Hafizi Ismail pada minit ke lapan diikuti Alif Izzat Rosdi (m-22) dan Fitrah Mohamad (m-27).

Menurut Casas, impian Pahang Rangers untuk melangkah ke pentas akhir Piala Futsal Malaysia musim ini akhirnya menjadi kenyataan

Katanya, kemaraan mereka hasil semangat dan kesungguhan tinggi dipamerkan barisan pemain yang bercita-cita untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Futsal Malaysia musim ini.

"Saya berpuas hati dengan prestasi dipamerkan pemain ketika menentang Terengganu semalam walaupun menang 7-0 pada separuh akhir pertama namun mereka tetap berusaha gigih dan menang 7-3," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 2:17 PM