AKSI pemain Pahang Rangers FC (jersi hitam) dan Pulau Pinang pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Futsal Malaysia di Stadium Tertutup SUKPA. FOTO MOHD RAFI MAMAT
AKSI pemain Pahang Rangers FC (jersi hitam) dan Pulau Pinang pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Futsal Malaysia di Stadium Tertutup SUKPA. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pasukan Pahang Rangers FC melangkah ke perlawanan akhir Piala Futsal Malaysia dengan bergaya selepas menewaskan Pulau Pinang 7-3 pada saingan separuh akhir kedua di Stadium Tertutup SUKPA, semalam.

Pada perlawanan separuh akhir kedua itu tuan rumah seolah bangkit dengan begitu bergaya selepas tewas tipis 2-3 pada saingan separuh akhir pertama di tempat lawan.

Jurulatih Pahang Rangers FC, Gerard Casas berkata kebangkitan pemain jelas dapat dilihat apabila mempamerkan corak permainan yang diharapkan tanpa banyak melakukan kesilapan.

Menurutnya, pemain mengikut setiap arahan serta percaturan yang diatur, setiap peluang terhidang berakhir dengan jaringan diharapkan.

"Semangat tinggi pemain jelas dapat dilihat apabila mengatur serangan secara berterusan sejak mula permainan lagi, buktinya pada babak pertama kita mendahului pelawat 5-2.

"Kebangkitan pemain saya (Pahang Rangers FC) seolah sukar disekat Pulau Pinang apabila menambah dua gol lagi untuk menang bergaya 7-3," katanya, di sini semalam.

Beliau berkata, kemenangan semalam berjaya menebus kekecewaan pada saingan separuh akhir pertama dan misi seterusnya mencatat keputusan terbaik di pentas perlawanan akhir pada 23 Julai nanti.

"Persiapan beraksi di pentas akhir bermula minggu depan, siapa lawan kita masih menjadi tanda tanya membabitkan dua wakil Selangor yang bertemu di perlawanan separuh akhir kedua," katanya.

Sementara itu penyerang lincah Pahang Rangers FC, Mohd Ridzwan Bakri berkata, dia berpuas hati apabila berjaya membantu pasukan melakar kemenangan seterusnya melangkah ke perlawanan akhir Piala Futsal Malaysia.

Katanya, lebih manis lagi apabila dia berjaya menyumbang dua untuk menambah koleksi jaringan sepanjang saingan Piala Futsal Malaysia.

"Semangat sepasukan yang dipamerkan pemain sepanjang perlawanan menjadi antara faktor kita berjaya menewaskan Pulau Pinang yang turun dengan misi menewaskan tuan rumah.

"Saya berpendapat perlawanan hari ini (semalam) begitu mendebarkan terutama sepanjang babak pertama," katanya yang berharap detik manis dapat dilakar pada perlawanan akhir nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 4:26 PM