YIBING segera diberikan bantuan perubatan selepas rebah di dalam gelanggang. FOTO Agensi
YIBING segera diberikan bantuan perubatan selepas rebah di dalam gelanggang. FOTO Agensi
AFP

Washington: Pemain tenis China, Wu Yibing rebah dan mendapat bantuan di gelanggang sebelum menarik diri daripada aksi pembukaan menentang wakil Jepun, Yosuke Watanuki di Terbuka DC.

Ia adalah insiden kedua dalam tempoh sebulan membabitkan masalah kesihatan yang ketara melanda Yibing.

Dia sebelum ini terpaksa menghentikan permainan untuk mendapatkan rawatan selepas jatuh sakit pada penghujung set pertama dalam perlawanan pembukaan Wimbledon ketika menentang pemain Amerika Syarikat (AS), Frances Tiafoe.

Di gelanggang permukaan keras di Washington, Yibing mendahului 4-1 pada set pertama sebelum melangkah longlai menuju ke tempat duduk dan rebah di atas kerusi lipat.

Yibing dibantu untuk berdiri dan sebelum di bawa ke tempat teduh, seterusnya dipapah keluar dari gelanggang.

Kenyataan daripada penganjur kejohanan mengatakan Yibing terpaksa menarik diri akibat masalah kesihatan.

Pemain berusia 23 tahun dari Hangzhou itu juga bermain minggu lalu di Atlanta, menewaskan pemain Perancis, Corentin Moutet dalam perlawanan pertamanya sebelum tewas kepada juara, Taylor Fritz, pemain nombor sembilan dunia dari AS pada pusingan kedua.

Pemain nombor 90 dunia itu memenangi gelaran ATP pertamanya pada Februari di Dallas.

Kejayaan itu membolehkannya menjadi pemain China pertama yang merangkul mahkota ATP dan pemain negara Tembok Besar pertama menduduki ranking tertinggi dengan berada di kedudukan ke-54 dunia Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 8:51 AM