Kante berswafoto bersama ball boy selepas perlawanan di Ukraine. FOTO REUTERS
Kante berswafoto bersama ball boy selepas perlawanan di Ukraine. FOTO REUTERS


JIKA ada pemain Chelsea paling popular dalam kalangan peminat, ia tidak lain sudah tentunya N’Golo Kante.

Telamsile Dlamini mendapat layanan baik ketika menemui Kante. FOTO Twitter Chelsea FC
Telamsile Dlamini mendapat layanan baik ketika menemui Kante. FOTO Twitter Chelsea FC

Biarpun dianggap antara pemain tengah bertahan terbaik di dunia Kante tidak menjadikan pujian itu sebagai ‘status mesti jaga’ sebaliknya dia mudah mesra dengan sesiapa saja terutamanya apabila diajak berswafoto.

Malah, tidak menolak apabila ‘ball boy’ menghulurkan kamera telefon bimbit selepas perlawanan Liga Europa di Kiev, Ukraine, awal pagi tadi.

Dynamo Kiev dibelasah 5-0 oleh Chelsea yang mengesahkan kemaraan ke suku akhir pertandingan itu.

Ramai menggelar Kante Mr Nice Guy tetapi pemain Perancis itu sering menafikannya.

Bukan itu sahaja, dia juga tidak menghampakan peminat wanita ketika menjayakan program komuniti yayasan kelab itu, baru-baru ini.

Sifat merendah diri ditunjukkan oleh Kante membuktikan kelasnya tersendiri - hebat bermain bola apabila berada di dalam padang dan mesra di luar padang.

Chelsea bertandang ke Ukraine dengan kelebihan gol selepas menewaskan Dynamo 3-0 pada perlawanan pertama di Stamford Bridge.

Skuad Liga Perdana Inggeris (EPL) itu langsung tidak memberi peluang pada perlawanan kedua dengan menyumbat lima gol mengatasi kelab Ukraine itu.

Pemain menjadi tumpuan sudah tentunya Oliver Giroud yang melakukan hatrik pada perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 4:57 PM