ALCARAZ mempunyai misi untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka AS. FOTO AFP
ALCARAZ mempunyai misi untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka AS. FOTO AFP
AFP

New York: Pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz berkata dia tidak mahu terlalu berasa yakin dalam usaha untuk mempertahankan kejuaraan di Terbuka AS.

Bintang Sepanyol berusia 20 tahun itu, dalam temu bual dengan AFP selepas memperbaharui kontraknya bersama pengeluar raket Perancis, Babolat berkata, dia tidak mampu meramal kemungkinan bertemu pilihan kedua yang juga juara Grand Slam 23 kali, Novak Djokovic, sebaliknya akan memberi tumpuan seawal pusingan pertama.

"Setiap Grand Slam saya akan berusaha untuk menang," kata Alcaraz yang akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraannya dengan bertemu pemain ranking ke-78 dunia dari Jerman, Dominik Koepfer.

"Saya mempunyai kenangan yang sangat baik pada tahun lalu, jadi saya mahu melakukannya sekali lagi."

Diletakkan selaku pilihan utama dan meraih kemenangan epik ke atas Djokovic di Wimbledon, Alcaraz mengakui cabaran di Terbuka AS adalah berbeza.

"Saya akan cuba melupakan seketika yang saya mahu mempertahankan kejuaraan. Saya hanya akan fokus pada setiap perlawanan.

"Kemudian barulah saya cuba melihat peluang sama ada boleh mendapat gelaran kali kedua di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 9:25 AM