DJOKOVIC (kanan) menarik diri pada set ketiga menentang Wawrinka pada Terbuka AS, pagi tadi. — FOTO Reuters
DJOKOVIC (kanan) menarik diri pada set ketiga menentang Wawrinka pada Terbuka AS, pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

JUARA bertahan dan pilihan utama Novak Djokovic menarik diri daripada aksi Terbuka AS pagi tadi selepas kalah dua set pertama di tangan Stanislas Wawrinka, membolehkan pemain Switzerland dengan tiga gelaran Grand Slam itu layak ke suku akhir.

Djokovic, yang menang empat daripada lima kejohanan Slam terakhir dan 16 secara keseluruhan, berasa sakit di bahu kiri yang berulang ketika Wawrinka yang berusia 34 tahun dan turut mengalahkannya pada final Terbuka AS 2016, membuktikan dirinya sebagai pencabar kejuaraan sebenar.

“Ia membantu saya pada masa yang tepat menyedari saya mampu beraksi baik untuk mengalahkannya di gelanggang ini,” kata Wawrinka.

“Ia bukannya satu cara anda mahu menamatkan perlawanan. Saya bersimpati terhadap Novak. Dia seorang juara yang menakjubkan.”

Aksi bintang tenis Switzerland, Roger Federer. FOTO EPA
Aksi bintang tenis Switzerland, Roger Federer. FOTO EPA

Pada hari yang mana Roger Federer mara ke suku akhir menentang pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov dan pilihan kelima dari Russia, Daniil Medvedev layak ke suku akhir Slam pertamanya, kejutan kecederaan Djokovic mencuri tumpuan.

“Ia mengecewakan. Terlalu kecewa,” kata Djokovic. “Jelas saya bukannya yang pertama, bukan yang terakhir mengalami kecederaan serta menarik diri daripada satu daripada kejohanan terbesar dalam sukan.”

Djokovic mengakui dia berasa sakit selama beberapa minggu namun tidak menjelaskan bagaimana atau bila dia mengalami kecederaan itu.

“Anda hanya tahu (untuk menarik diri) apabila tiba masanya, saya fikir apabila anda berasa anda tidak mampu membuat pukulan lagi.”

MEDVEDEV menyingkirkan Koepfer pada hari ketujuh Terbuka AS, pagi tadi. — FOTO EPA
MEDVEDEV menyingkirkan Koepfer pada hari ketujuh Terbuka AS, pagi tadi. — FOTO EPA

Medvedev, juara di Cincinnati dan naib juara di Montreal dan Washington pada kejohanan pemanas badan, mara berdepan Wawrinka selepas menundukkan pemain ranking ke-118 dari Jerman, Dominik Koepfer 3-6, 6-3, 6-2, 7-6 (7/2).

Federer, juara lima kali dengan 20 gelaran Slam, menempah tiket ke suku akhir Terbuka AS kali ke-13 dengan membenam pilihan ke-15 dari Belgium, David Goffin 6-2, 6-2, 6-0 dalam tempoh hanya 79 minit.

“Kadang-kadang keputusan sebegini berlaku,” kata Federer.

“Anda berdepan hari yang bagus, lawan pula tidak bagus, kemudian perkara sebegini berlaku pantas... saya menemui rentak lebih awal dan berjaya melepasinya. Tak toleh ke belakang lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 12:44 PM