IGA memberikan persembahan terbaik di Terbuka Australia. FOTO Reuters
IGA memberikan persembahan terbaik di Terbuka Australia. FOTO Reuters
AFP

Melbourne: Carlos Alcaraz dan Iga Swiatek mara ke pusingan kedua Terbuka Australia, ketika Alexander Zverev dari Jerman mengetepikan kebimbangan tindakan undang-undang di tempat sendiri untuk meneruskan aksi

Pemain nombor dua dunia Alcaraz beraksi di Rod Laver Arena, menumpaskan pemain veteran Perancis Richard Gasquet 7-6 (7/5), 6-1, 6-2 dalam perlawanan kompetitif pertamanya tahun ini.

Pemain Sepanyol itu, yang berusaha untuk menyingkirkan juara 10 kali Novak Djokovic dari kedudukan nombor satu dunia, diuji dalam set pertama yang sengit tetapi kemudian mempamer peningkatan.

Alcaraz, yang seterusnya akan menentang pemain Itali, Lorenzo Sonego, berkata adalah baik untuk kembali ke Melbourne, di mana dia tidak melepasi pusingan ketiga dalam dua saingan sebelum ini.

Dia terlepas kejohanan tahun lalu kerana kecederaan.

"Pada set pertama saya bergelut sedikit dengan permainannya," katanya.

"Dia bermain hebat tetapi saya bermain lebih baik dan lebih baik dan pada akhirnya saya mencapai tahap yang agak baik."

Terdahulu, Iga berjaya mengharungi ujian getir menentang bekas juara Terbuka Australia, Sofia Kenin untuk mara.

Pemain nombor satu dunia dari Poland itu mencatatkan kemenangan 7-6 (7/2), 6-2 menentang pemain yang ditewaskannya untuk memenangi gelaran Grand Slam pertama, di Terbuka Perancis pada 2020.

Zverev pula turun ke Margaret Court Arena pada sebelah malam menentang rakan senegara, Dominik Koepfer di bawah bayangan kes mahkamah yang semakin hampir.

Pemain nombor enam dunia itu akan dibicarakan pada akhir Mei kerana didakwa menyerang bekas teman wanitanya pada 2020.

Zverev, yang bersungguh-sungguh menafikan dakwaan itu, dituduh 'mendera wanita secara fizikal dan merosakkan kesihatannya semasa pertengkaran', menurut mahkamah.

Pemain Jerman itu, yang menewaskan Koepfer dalam empat set, berkata dia tidak nampak sebab untuk berundur sebagai wakil pemain Jelajah ATP berhubung isu itu, kerana percaya pemain lain mempunyai keyakinan terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 11:04 PM