KETUA jurulatih ragbi 7s negara, Nik Safuan Ismade Nik Man. FOTO ARKIB NSTP
KETUA jurulatih ragbi 7s negara, Nik Safuan Ismade Nik Man. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad ragbi 7 sepasukan negara (7s) kini mempersiapkan diri untuk beraksi di Kejohanan 7s Asian Series yang berlangsung pada 26 hingga 27 Ogos ini di Incheon, Korea Selatan.

Ia sebagai persediaan terakhir untuk menghadapi temasya Sukan Asia Hangzhou di China, September ini.

Ketua jurulatih negara, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, ia adalah persiapan terakhir sebelum senarai 12 pemain diumumkan bagi mengibarkan cabaran di Hangzhou.

Katanya, kejohanan itu akan menjadi kayu pengukur kemampuan barisan pemain yang diundi dalam Kumpulan B bersama pemenang pingat gangsa Sukan Asia Jakarta 2018, Korea Selatan dan Taiwan.

"Pada kejohanan Asian Series ini sasaran adalah untuk mengekalkan ranking dalam carta Asia Series iaitu lapan terbaik untuk beraksi dalam series tahun depan.

"Tapi fokus utama skuad negara saat ini masih lagi Sukan Asia.

"Jadi, kalau boleh kami mahukan pemain negara mendapat pendedahan mencukupi sebelum menggalas tugas lebih berat sewaktu di Hangzhou nanti," ujarnya.

Mengulas mengenai undian, Nik Safuan berkata, skuad 7s negara mungkin tidak berdepan masalah apabila berdepan Taiwan, namun perlu berwaspada ancaman Korea.

Malaysia pernah menewaskan Taiwan pada edisi 2018 di Jakarta, Indonesia dengan keputusan 17-10, namun tewas kepada Korea keputusan 5-40 di suku akhir.

"Kalau lihat undian, saya yakin dengan kemampuan pemain ketika ini kami mampu untuk atasi Taiwan.

"Namun, kami perlu berhati-hati apabila turun bertemu Korea dan kena usaha lebih keras lagi sebab kami pernah tewas kepada mereka belum ini," katanya.

Pada temasya terdahulu di Palembang-Jakarta, skuad 7s negara menamatkan saingan di kedudukan kelima terbaik dari 12 pasukan bertanding.

Emas dalam acara itu dimenangi Hong Kong manakala Jepun dan Korea meraih perak serta gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 6:44 PM