DJOKOVIC tewas pada final Wimbledon di tangan Alcaraz.
DJOKOVIC tewas pada final Wimbledon di tangan Alcaraz.
Agensi

London: Bapa Novak Djokovic memberi bayangan pemain nombor dua dunia itu mungkin bersara daripada tenis tidak lama lagi.

Srdjan turut berkata, juara 23 Grand Slam itu sepatutnya menggantung raket beberapa tahun lalu.

Djokovic menjuarai Terbuka Australia dan Perancis tahun ini tetapi tewas pada final Wimbledon di tangan Carlos Alcaraz.

Pemain Serbia berusia 36 tahun itu kini tidak mempunyai banyak lagi peluang untuk mempertahankan gelarannya.

Dalam dokumentari bertajuk Novak Djokovic - Untold Stories, bapanya mendedahkan dia bangga dengan anaknya dan berpendapat sudah sampai masa Djokovic menamatkan karier gemilang.

Srdjan berkata: "Dia sudah pun mencapai apa yang saya harapkan tujuh atau tahun lalu. Kejayaan selepas itu adalah bonus yang hebat.

"Tenis hanyalah satu segmen daripada kehidupannya, bukan seluruh hidupnya. Saya harap apa yang akan dilakukannya selepas bersara akan dihargai, selepas meninggalkan tenis dunia yang saya harap berlaku tahun depan.

"Harapan saya sebagai ayah dia perlu berhenti bekerja dalam karier sangat sukar ini. Ia sangat mencabar dari segi fizikal dan mental. Tidak banyak lagi masa untuk melakukan perkara lain dalam kehidupan," tambah Srdjan.

Ibunya Dijana turut berkata: "Terpulang kepadanya tetapi dia boleh bersara sekarang. Dia sudah memenangi segalanya."

Musuh ketat Djokovic sekian lama Rafael Nadal dijangka bersara tahun depan manakala Roger Federer menggantung raket pada 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 11:23 AM