SERENA kini di ranking 24 dunia.
SERENA kini di ranking 24 dunia.
AFP

MELBOURNE: Penganjur Terbuka Australia berharap kepulangan semula menakjubkan Serena Williams yang baru menjadi ibu pada Januari depan ketika mereka meningkatkan hadiah kemenangan kepada AS$3.1 juta (RM13.09 juta).

Serena menjuarai Terbuka Australia tahun ini ketika sedang mengandung dan bercakap mengenai pelan ‘dianggap keterlaluan’ untuk bermain di Melbourne pada 2018 - kurang empat setengah bulan selepas melahirkan bayi perempuannya.

Pengarah kejohanan Craig Tiley berkata, semua pemain di ranking 100 terbaik lelaki dan wanita mengesahkan keinginan untuk beraksi di Melbourne termasuk Serena yang ketika ini di ranking 24 dunia.

Tiley berkata, pemain berusia 36 tahun itu sudah memutuskan untuk beraksi di Terbuka Australia yang huruf awalannya AO sama seperti nama anak perempuannya iaitu Alexis Olympia.

“Huruf awal nama bayinya adalah AO dan dia menegaskan perlu meletakkan namanya pada trofi 2017 jadi AO adalah keutamaan di mindanya ketika ini,” kata Tiley pada majlis pelancaran rasmi kejohanan itu di Melbourne hari ini.

“Jika seseorang boleh melakukannya, dia juga boleh tapi saya tidak terlalu berharap dia akan kembali Januari ini.

“Dia mahu kembali beraksi pada 2018 dan mempertahankan gelarannya.

“Jelas dia sedang menjalani latihan ketika ini dan masih ada beberapa bulan lagi sebelum kejohanan berlangsung. Ia akan bergantung sepenuhnya bagaimana keadaannya serta tahap kecergasannya.”

Sesetengah bintang tenis tertanya-tanya bagaimana pemenang 23 gelaran Grand Slam itu mampu bangkit sepantas itu selepas melahirkan anak dan jika dia melakukannya, adakah dia mampu mencapai prestasi terbaiknya.

Selain itu, bekas pemain nombor satu dunia Novak Djokovic dan Andy Murray bersama Kei Nishikori dan Stanislas Wawrinka yang sedang menjalani proses pemulihan susulan kecederaan juga dijangka kembali beraksi di Melbourne.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 5:45 PM