ALCARAZ berasa sangat bertuah bakal berentap dengan Djokovic menjelang musim baru. FOTO AFP
ALCARAZ berasa sangat bertuah bakal berentap dengan Djokovic menjelang musim baru. FOTO AFP
Reuters

Abu Dhabi: Pemain tenis nombor satu dunia, Carlos Alcaraz berkata dia bertuah kerana mempunyai Novak Djokovic sebagai pesaing dalam Jelajah ATP kerana ia memberinya peluang untuk menguji dirinya menentang salah seorang pemain terhebat sukan itu.

Djokovic dihantar pulang dari Australia menjelang Grand Slam pertama musim ini pada Januari lalu kerana tidak mengambil vaksin Covid-19 dan terlepas beberapa kejohanan termasuk Terbuka Amerika Syarikat (AS) di mana pemain Sepanyol itu berjaya meraih kejuaraan Grand Slam sulung.

Dengan Djokovic diberikan visa untuk pergi ke Australia awal tahun depan - di mana dia akan memburu gelaran Terbuka Australia ke-10, Alcaraz berkata dia tidak sabar untuk bertemu dengan juara Grand Slam sebanyak 21 kali itu.

"Tenis sangat penting untuk mempunyai pemain terbaik di dunia dan buat peminat juga adalah lebih baik untuk menyaksikan kejohanan membabitkan pemain terbaik,"

"Saya mahu melihat Novak bermain dalam setiap kejohanan. Saya selalu berkata jika anda mahu menjadi yang terbaik, anda perlu menewaskan pemain terbaik di dunia. Saya seorang pemain yang bertuah kerana bakal berdepan dengannya," kata Alcaraz.

Alcaraz menikmati tahun 2022 yang luar biasa selepas melengkapkan saingan musim ini sebagai pemain nombor satu dan berkata dia hampir mencapai tahap kecergasan penuh menjelang musim baharu, selepas terlepas perlawanan Akhir ATP dan Piala Davis akibat kecederaan perut yang dialami di Masters Paris.

"Saya berasa kembali sembuh akhirnya. Saya mempunyai sebulan untuk pulih... dan sekarang saya rasa hampir 100%. Saya berlatih seperti biasa minggu lalu dan saya berasa luar biasa," kata Alcaraz.

"Sudah tentu mempunyai sasaran dan menjadi sedikit berbeza untuk saya tahun ini. Saya perlu bersedia untuk itu.

"Saya akan cuba menamatkan 2023 dalam kedudukan yang sama seperti sekarang. Ia akan menjadi tahun yang panjang tetapi saya akan menikmatinya," kata Alcaraz.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 12:57 PM