EMMA muncul perenang wanita meraih pingat terbanyak dalam satu temasya. FOTO EPA
EMMA muncul perenang wanita meraih pingat terbanyak dalam satu temasya. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Emma McKeon mencipta sejarah Olimpik dengan membantu Australia mengejutkan dua kali penyandang juara, Amerika Syarikat (AS) bagi membolehkan mereka meraih emas dalam acara 4x100 meter (m) rampaian wanita.

Pasukan yang dibarisi Kaylee McKeown, Chelsea Hodges, Emma dan Cate Campbell mencipta rekod baru Olimpik tiga minit 51.60 saat (s) mengatasi AS (3:51.73s) dan Kanada (3:52.60s).

Ia adalah pingat ketujuh Emma di Tokyo, iaitu tidak ada perenang wanita yang mampu melakukannya hanya untuk satu temasya.

Dalam saingan 4x100m rampaian wanita itu, Kanada terlebih dulu di depan melalui Kylie Masse dalam renangan kuak lentang sebelum Lydia Jacoby membawa AS ke depan melalui disiplin kuak dada.

Aksi memukau Emma dalam saingan kuak kupu-kupu berjaya merapatkan Australia dengan dua negara berkenaan, sebelum perenang veteran, Cate menghabiskan 100m terakhir untuk memintas pakar gaya bebas AS, Abbey Weitzeil dan terus merangkul emas.

Ia adalah emas keempat Emma, 27, di Tokyo selain meraih tiga gangsa, sekali gus mengetepikan rekod perenang Jerman Utara, Kristin Otto (1952) dan Natalie Coughlin dari Amerika Syarikat (2008) yang merangkul enam pingat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 2:16 PM