KUARTET Britain lakar sejarah dalam acara 4x100m campuran yang kali pertama dipertandingkan. FOTO EPA
KUARTET Britain lakar sejarah dalam acara 4x100m campuran yang kali pertama dipertandingkan. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Kuartet campuran Britain yang diketuai Adam Peaty memecahkan rekod dunia untuk meraih emas dalam acara 4x100 meter (m) rampaian campuran yang kali pertama dipertandingkan sekali gus mengetepikan China dan Australia.

Britain dibarisi perenang bertenaga Kathleen Dawson, Peaty, James Guy dan Anna Hopkin mencatat masa tiga minit 37.58 saat (s) untuk memadamkan rekod lama 3:38.41s yang dilakukan China di Qingdao tahun lalu.

China menduduki tempat kedua dengan catatan 3:38.86s, manakala Australia di tempat ketiga 3:38.95s.

Acara campuran berganti-ganti adalah salah satu daripada disiplin yang dipertanding di Jepun bersama-sama 800m gaya bebas lelaki dan 1,500m gaya bebas wanita.

Setiap pasukan dibarisi dua perenang wanita dan dua perenang lelaki dengan keempat-empatnya harus melakukan rutin tradisional, kuak lentang, kuak dada, kuak kupu-kupu serta gaya bebas.

Britain memilih Dawson untuk memulakan perlumbaan, bagi bersaing dengan jaguh kuak lentang Amerika Syarikat, Ryan Murphy dan perenang Australia, Kaylee McKeown.

Peaty, yang memenangi emas dalam acara 100m kuak dada di Tokyo, menjadi perenang kedua.

Guy berjaya memberi renangan bertenaga dalam kuak kupu-kupu sebelum menyerahkan tugas kepada Hopkin yang membawa mereka meraih kejayaan selepas mengetepikan jaguh China, Yang Junxuan dan juara 100m gaya bebas Australia, Emma McKeon.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 12:45 PM