POGACAR tagih bantuan Yates untuk rampas kejuaraan TdF. FOTO Reuters
POGACAR tagih bantuan Yates untuk rampas kejuaraan TdF. FOTO Reuters
AFP

Paris: Juara dua kali Tadej Pogacar akan menjadikan Adam Yates sebagai 'orang kanannya' dengan kedua-duanya akan mengetuai pasukan Team UAE menjelang perlumbaan Tour de France (TdF).

Bantuan jaguh pendakian dari Britain itu akan terbukti berguna di kawasan pergunungan tatkala Pogacar ketika ini seddang berusaha merampas kejuaraan dari Jonas Vingegaard.

Yates sekarang ini menikmati musim pertamanya bersama UAE selepas berpindah dari Ineos dan kepakaran ketika mendaki sangat ditagih bagi melalui perlumbaan 21 hari yang penuh dengan cabaran pendakian.

Pogacar, juara 2020 dan 2021, juga akan bersama 'sherpa' setianya Rafal Majka dari Poland, pendaki Austria, Felix Grossschartner, Marc Soler, Matteo Trentin, Mikkel Bjerg dan Vegard Stake Laengen.

"Kami mempunyai kumpulan pelumba yang sangat bagus. Akan ada beberapa pesaing yang serius tetapi itu akan sentiasa berlaku dalam perlumbaan terbesar," kata Pogacar menjelang permulaan perlumbaan hujung minggu ini di Bilbao.

"Kami akan ke sana untuk mempamerkan persembahan yang baik dan sudah tentu dengan matlamat kemenangan," tambah pelumba dari Slovenia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 1:01 PM