Pelumba UAE-Team Emirates, Tadej Pogacar dari Slovenia melintasi garisan penamat peringkat ke-17 perlumbaan Tour de France 2021. FOTO Agensi
Pelumba UAE-Team Emirates, Tadej Pogacar dari Slovenia melintasi garisan penamat peringkat ke-17 perlumbaan Tour de France 2021. FOTO Agensi
AFP

Saint-Lary-Soulan, Perancis: Tadej Pogacar melanjutkan penguasaannya dengan memenangi peringkat ke-17 Tour de France (TdF) di puncak Pyrenean dekat Col du Portet, di mana dia diekori rapat oleh Jonas Vingegaard dan Richard Carapaz selepas mereka bergelut dalam saingan epik.

Carapaz dari Ecuador melakukan pecutan kira-kira 1.5 kilometer (km) dari penamat berbukit ketinggian 2,200 meter(m), tetapi dipintas oleh Pogacar.

Juara dari Slovenia itu mencatat kejayaan kedua pada jelajah ini untuk melanjutkan kedudukan pendahulu lima minit setengah ke atas pelumba yang mencipta kejutan, Dane Vingegaard.

Carapaz melonjak di tempat ketiga keseluruhan selepas Rigobert Uran ketinggalan di kawasan berbukit.

"Ia adalah antara peringkat yang sukar di jelajah ini dan saya dedikasi kemenangan ini kepada pasukan saya yang bekerja keras untuk saya di sini," kata Pogacar.

Pada hari cuti kebangsaan di Perancis sempena Bastille Day, pelumba FDJ David Gaudu dari Perancis berada di kedudukan keempat di garisan penamat.

Pasukan Perancis, AG2R pula menyaksikan pelumba sandaran podium mereka Ben O'Connor dari Australia menduduki tempat kelima keseluruhan.

Bos AG2R Vincent Lavenu memberitahu AFP bahawa peringkat itu dengan 36km pendakian pada bahagian final adalah "perlumbaan bagi tempat kedua dan sebahagian daripada pesaing akan ketinggalan di sini."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 8:29 AM