Barisan pemain skuad negara ketika bertemu China. FOTO PSM
Barisan pemain skuad negara ketika bertemu China. FOTO PSM
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Jurulatih pasukan sepak takraw wanita negara, Rashidi Nordin berharap akan ada lebih banyak kejohanan di peringkat tempatan bagi kategori quadrant dan doubles di peringkat kebangsaan selepas ini dan tidak hanya tertumpu kepada acara regu.

Beliau berpendapat peluang pasukan negara dilihat lebih cerah untuk memenangi pingat emas dalam kedua-dua acara itu namun kekurangan kejohanan sedikit sebanyak memberi impak untuk pemain-pemain mengekalkan prestasi mereka.

"Kalau kita lihat kejohanan-kejohanan lokal, kebanyakkannya tertumpu kepada acara regu berbanding quadrant dan doubles. Namun apa yang saya lihat quadrant dan doubles ini ada potensi untuk kita jadi juara.

"Kalau kita lihat, servis untuk kategori quadrant dan doubles akan mula dari belakang berbanding acara regu. Jadi apabila servis belakang digunakan, ia tidak akan beri kelebihan kepada mana-mana pasukan berbanding servis waktu acara regu.

"Jadi saya syorkan kalau boleh, kita adakan lebih banyak kejohanan tempatan bagi acara quadrant dan doubles walaupun kategori ini tidak dipertandingkan di temasya besar," katanya.

Terdahulu skuad wanita negara muncul juara acara kuadran Divisyen Satu Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thailand (King's Cup) sekali gus bakal kembali menyertai Divisyen Perdana pada tahun depan.

Skuad yang dibarisi Siti Norzubaidah Che Wahab, Kamisah Khamis, Nur Fatihah Sharudin dan Razmah Anam manakala dua simpanan, Nadillatul Rosmahani Saidin dan Nurul Syafiqah Jafri berjaya menundukkan China 21-17, 21-14 dalam perlawanan akhir pada Rabu.

Lebih manis lagi pasukan kuadran negara berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa kalah

sepanjang lima perlawanan yang disertai mereka di kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 3:44 PM