SKUAD negara diundi dalam Kumpulan B bagi acara regu berpasukan di Sukan Asia Hangzhou.
SKUAD negara diundi dalam Kumpulan B bagi acara regu berpasukan di Sukan Asia Hangzhou.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Skuad sepak takraw negara diundi dalam kumpulan berlainan dengan musuh tradisi, Thailand di peringkat kumpulan acara regu antara dan regu berpasukan di Sukan Asia Hangzhou, September depan.

Pada majlis undian hari ini, skuad kendalian Ahmad Jais Baharun itu diundi dalam Kumpulan A bagi acara antara regu bersama-sama pemenang pingat gangsa edisi lalu, Singapura dan Myanmar.

Manakala Thailand pula berada dalam Kumpulan B bersama-sama Filipina, India dan Myanmar.

Bagi acara regu berpasukan, pasukan negara diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Indonesia dan Korea Selatan manakala Thailand dalam Kumpulan A dengan Jepun dan Laos.

Pada edisi kali ini, skuad negara hanya menyertai dua acara daripada enam yang dipertandingkan antaranya regu wanita, regu wanita berpasukan serta quadrant lelaki dan wanita.

"Majlis pengundian berjalan dengan baik pada petang ini dan Thailand menjadi pasukan pilihan bagi acara berpasukan dan regu.

"Saya harap pertandingan sepak takraw di Sukan Asia nanti akan berjalan dengan baik," kata Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf), Datuk Abdul Halim Kader.

Pada edisi lalu yang berlangsung di Palembang-Jakarta, skuad sepak takraw negara membawa pulang satu pingat emas dalam acara regu lelaki dan satu perak dalam kategori regu berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 5:25 PM