AKSI Datuk Azizulhasni Awang (kiri). FOTO Agensi
AKSI Datuk Azizulhasni Awang (kiri). FOTO Agensi
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yakin pelumba pecut trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mampu sekali lagi mencipta kejuaraan di Piala Trek Antarabangsa Hong Kong yang akan diadakan pada bulan hadapan.

Pemangku Timbalan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, meskipun Azizulhasni tidak menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India ketika ini tetapi beliau percaya dia mampu ulang kejayaan seperti mana memenangi pingat emas acara keirin Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang berlangsung di Adelaide, Australia awal bulan lalu.

Jelasnya, beliau memuji semangat The Pocket Rocketman itu meskipun Azizulhasni menyedari sedang mengalami kecederaan ketika latihan mahupun perlumbaan.

Tambah Amarjit, Malaysia akan ada wakil dalam acara trek di Olimpik Paris 2024 nanti meskipun sekarang masih dalam sesi kelayakan ke kejohanan berkenaan.

"Kejohanan yang akan datang, amat penting di Hong Kong pada 15-17 Mac dan pada itu Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom juga akan sertai kejohanan itu. Kita harap Datuk Azizulhasni dapat buat kejutan seperti dia buat di Adelaide pada dua minggu yang lepas.

"Azizulhasni sedang mendapatkan rawatan dan doktor (pakar) kardiologi semua memantau keadaan dia. Pihak perubatan mereka dapat kenal pasti lebih awal dan mereka tahu apa harus dilakukan. Mereka ada ubat untuk Azizulhasni. Mereka dapat tahu lebih awal daripada lambat.

"Saya tidak terlalu risau dan cukup yakin serta percaya pasukan yang sedang merawat dia apa yang harus dilakukan.

"Sebenarnya, Azizulhasni mempunyai semangat juang yang sangat tinggi dan itu yang menjadi, motivasi dan impian untuk dia menjadi atlet pertama Malaysia menang emas (di Olimpik). Tapi kita tidak mahu memberi tekanan terlalu tinggi danletak bebanan itu di bahu dia.

"Saya dapat rasakan dan yakin kita dapat layak ke pentas Olimpik (Paris 2024) tetapi kena tunggu senarai rasmi keluar pada 14 April depan dari dari Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI),"katanya.

Selain itu, Amarjit turut memaklumkan pasukan trek berbasikal negara akan berkelana ke Eropah bermula pertengahan Mei nanti.

"Mereka akan adakan kem di sana dan mereka akan terus ke Paris untuk Sukan Olimpik. Latihan kem di sana kerana kita nak atlet kita biasakan diri dengan keadaan, masa, dan kita tidak mahu buat persiapan akhir.

"Kita mungkin akan menyertai beberapa acara sebagai persiapan namun ini masih di dalam perancangan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 2:37 PM