ALIANA Syafika akan bersama-sama tiga lagi pelumba wanita dalam acara trek.
ALIANA Syafika akan bersama-sama tiga lagi pelumba wanita dalam acara trek.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Atlet pelapis berbasikal wanita, Nurul Aliana Syafika Azizan dinaikkan pangkat ke program podium bagi acara trek.

Perkembangan itu sekali gus melengkapkan tujuh senarai nama bagi program utama 2023 yang turut disertai jaguh trek negara, Datuk Azizulhasni Awang.

Selain Aliana, tiga lagi pelumba wanita yang akan menyertai program podium adalah Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, dan Anis Amira Rosidi.

Bagi pelumba lelaki pula, selain Azizulhansi turut berada dalam senarai program adalah Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Muhammad Ridwan Sahrom.

"Untuk 2023, 50 pelumba berada dalam program termasuk Program Podium, Pelapis Kebangsaan dan wanita. Jadi saya rasa, ini adalah satu pasukan yang besar dan sokongan utama diberikan MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) untuk membantu atlet baharu.

"Saya rasa kita berada di landasan yang tepat," kata Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill.

Dalam perkembangan yang sama, Amarjit turut memaklumkan Azizulhasni dan Shah Firdaus adalah atlet yang berada dalam senarai utama ke Olimpik Paris 2024.

"Ada tujuh atlet dalam Program Podium yang diluluskan untuk tahun 2023. Namun setakat ini, atlet utama adalah Datuk Azizul dan Shah Firdaus.

"Kita ada (atlet) lain dalam Program Podium tetapi untuk Road to Paris, ini dua namanya," katanya.

Dalam pada itu, Amarjit berkata, 10 atlet dijadual menyertai siri kejohanan Nations Cup di Jakarta, Indonesia yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 dari 23 hingga 26 Februari ini.

Katanya, Azizulhasni akan pulang ke tanahair pada hujung bulan ini dan menjalani latihan bersama rakan seperjuangan yang lain di Velodrom Nilai sehingga pertengahan Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 2:57 PM