SKUAD rabgi negara ketika menjalani latihan sebelum ini. FOTO Malaysia Rugby
SKUAD rabgi negara ketika menjalani latihan sebelum ini. FOTO Malaysia Rugby
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih pasukan ragbi negara, Mohd Fariz Syazwan Abu Bakar memberi bayangan bahawa tiada rombakan besar akan dilakukan termasuklah menyenaraikan pemain dari Fiji apabila berkunjung ke Hong Kong bagi aksi kedua saingan Divisyen Perdana Kejohanan Ragbi Asia (ARC) pada 10 Jun ini.

Sebaliknya, Mohd Fariz atau lebih mesra disapa Lomo memberitahu dia akan tetap mempertaruhkan kepercayaan kepada barisan pemain tempatan yang dilihat turut mampu memberikan persaingan sengit di peringkat Asia.

"Untuk saingan ARC ini, kita boleh daftar 26 pemain baharu dalam setiap perlawanan tetapi untuk skuad Bunga Raya tahun ini, kita ada 30 pemain dan kita boleh melakukan penggiliran dalam kalangan mereka. Kita boleh bawa masuk pemain baharu tetapi kita takut mereka tidak bersedia kerana tidak menjalani latihan.

"Saya juga tidak fikir kami akan menyenaraikan pemain Fiji kerana mereka semua sudah terikat dengan komitmen bersama kelab masing-masing.

"Jadi, kita akan gunakan apa yang kita ada dan saya percaya dengan bakat-bakat tempatan yang kita ada sekarang ini yang mana mereka boleh diketengahkan untuk bersaing di peringkat Asia," katanya.

Pada kempen ARC kali ini, Malaysia tidak menggunakan pemain dari Fiji seperti kelazimannya sebaliknya hanya seorang pemain naturalisasi disenaraikan iaitu Lee Chapman.

Untuk rekod, Ini adalah kali keempat skuad Bunga Raya beraksi dalam Divisyen Perdana ARC sejak dinaikkan pangkat pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 4:52 PM