Skuad ragbi kebangsaan yang menyertai kejohanan baru-baru ini. FOTO Ihsan KRM
Skuad ragbi kebangsaan yang menyertai kejohanan baru-baru ini. FOTO Ihsan KRM
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) akur selain positif dengan keputusan penganjur yang memutuskan Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 15 Sebelah yang dijadualkan berlangsung pada 19 November depan terpaksa ditunda lagi pada Januari tahun depan.

Timbalan Presiden KRM, Amir Amri Muhammad menjelaskan, penundaan tarikh kejohanan itu yang sepatutnya berlangsung pada 22 Mei lalu di Hong Kong adalah kali kelima ditangguhkan pada tahun ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu menyifatkan penangguhan itu adalah tepat kerana dunia masih lagi berperang dengan wabak pandemik Covid-19 yang tidak menentu.

"Mesyuarat ahli gabungan Asia Ragbi secara dalam talian semalam memutuskan pertandingan ARC yang membabitkan Hong Kong dan Korea Selatan bagi mencari satu pasukan ke pusingan kelayakan seterusnya terpaksa ditunda lagi buat kali kelima berikutan kebimbangan wabak pandemik Covid-19 yang masih tidak menentu.

"Namun venue pertandingan masih lagi kekal di Hong Kong manakala tarikh sebenar pada Januari tahun depan akan dimaklumkan tuan rumah," katanya.

Mengenai sasaran pasukan, beliau menjelaskan pasukan Bunga Raya 15 Sebelah bakal mengharungi tiga pusingan kelayakan sebelum mengintai peluang ke saingan Piala Dunia di Perancis yang dijadualkan bakal berlangsung bermula 8 September hingga 21 Oktober 2023.

"Selepas saingan di peringkat Asia, sekiranya kita menjadi juara perlu mengharungi pusingan kelayakan bertemu pemenang aksi play-off Oceania iaitu pemenang antara Cook Islands menentang sama ada Tonga atau Samoa.

"Pemenang perlawanan antara Samoa dan Tonga akan layak secara automatik ke saingan Piala Dunia manakala pasukan yang tewas (Samoa/Tonga) akan bertemu Cook Islands untuk menentukan pasukan mana yang akan bertemu juara ARC bagi satu lagi kelayakan secara automatik ke Piala Dunia.

"Pasukan yang tewas dalam play-off akan ke peringkat repechage iaitu perlawanan empat penjuru meliputi wakil Benua Eropah, Afrika, Amerika dan Asia/Oceania.

"Namun sasaran awal kita adalah untuk kekal dalam Divisyen Premier Ragbi Asia kerana kita menyasarkan untuk ke Piala Dunia adalah pada 2031 berdasarkan perancangan yang kita atur kerana bukan mudah untuk menundukkan Hong Kong dan Korea Selatan yang masing-masing menghuni di kedudukan ke-22 dan 31 dunia selain mereka dibarisi pemain berkualiti," katanya.

Berdasarkan rekod, skuad Bunga Raya 15 Sebelah kini berada di divisyen paling tinggi dengan menghuni di ranking ke-46 dunia dan keempat Asia di belakang Jepun, Hong Kong dan Korea Selatan, kedudukan itu juga lebih baik berbanding seteru utama, Singapura ketujuh dan Thailand ke-12 dalam sejarah perebutan kejuaraan ragbi 15 dan 7 sebelah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 7:32 PM