AMIR Amri (kiri) ketika Majlis Iftar bersama Persatuan Ragbi Negeri Terengganu, malam tadi. FOTO Malik Muhamad
AMIR Amri (kiri) ketika Majlis Iftar bersama Persatuan Ragbi Negeri Terengganu, malam tadi. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Skuad Ragbi Malaysia 15 sebelah atau kini dikenali pasukan Bunga Raya 15 sebelah giat menjalani latihan di Kompleks Sukan IJM Cobra, Petaling Jaya sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Ragbi Asia (ARC) di Korea Selatan, bermula 28 Mei depan.

Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amir Amri Mohamad berkata, seramai 27 pemain disenaraikan ketua jurulatih kebangsaan, Rodney So'oialo bagi kem latihan fasa 4.

Beliau berkata, turut menjalani latihan dalam fasa itu termasuk dua pemain naturalisasi kelahiran Fiji, Timoci Vunimoko dan Vatimio Rebebe serta seorang pemain dari Samoa, Sae Faalupega.

"Selain tiga pemain naturalisasi itu, kita masih menunggu tiga pemain kelahiran Malaysia yang kini beraksi bersama kelab di Jerman, Jepun dan Australia kerana mereka belum mendapat surat pelepasan daripada majikan masing-masing.

"Pada fasa 4 ini, mereka akan menjalani latihan di bawah jurulatih import itu bermula 16 April hingga 29 April sebelum diberi cuti selama semingu bagi menyambut Aidilfitri dan pemain terpilih daripada fasa 4 ini akan dipanggil menjalani latihan fasa 5 iaitu fasa terakhir bermula 7 Mei depan.

"Selepas itu, ketua jurulatih akan mengumumkan pemain terpilih dan akan ke Korea bagi mengharungi ARC itu yang bakal berlangsung bermula 28 Mei, 2 Jun dan 5 Jun," kata Amir Amri ketika ditemui selepas Majlis Iftar bersama Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) di Kuala Terengganu, malam tadi.

Menurutnya, ARC itu adalah pusingan kelayakan ke Kejohanan Ragbi Piala Dunia 2023 dengan pemenang dalam ARC itu akan menentang Tonga pada Julai 2022 bagi perlawanan pusingan kelayakan seterusnya.

Katanya, setakat ini belum ada surat pengesahan rasmi daripada Asia Ragbi menyatakan adakah pasukan Malaysia dan Korea Selatan atau Malaysia, Korea dan Hong Kong bakal membuat perhitungan.

"Setakat ini Hong Kong belum mengesahkan penyertaan mereka dalam ARC itu dengan keputusan muktamad dijangka akan diketahui pada 21 April ini.

"Bagaimanapun, kita tetap bersedia kerana mahu melakar sejarah beraksi di pentas Piala Dunia walaupun sedar bukan tugas mudah buat pemain merealisasikan impian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 9:46 PM