CHEONG Min, 25, menjalani latihan wushu di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil. FOTO Azhar Ramli
CHEONG Min, 25, menjalani latihan wushu di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil. FOTO Azhar Ramli
Wan Izzati Amir


Kuala Lumpur: Di sebalik kejayaan bergelar juara dunia dalam sukan wushu ramai tidak tahu filem kung fu juga memberikan pengaruh besar kepadaTan Cheong Min untuk berjinak dalam sukan itu.

Selain Cheong Min, abang dan adik lelakinya juga adalah atlet wushu dan telah melibatkan diri lebih awal daripada dirinya.

"Selain pengaruh adik-beradik, filem kung fu seperti lakonan Jackie Chan dan Bruce Lee juga mendorong saya untuk menyertai sukan wushu. Saya terpesona dengan aksi dan kehebatan ditunjukkan dalam filem kung fu, dan itu membangkitkan semangat dan minat saya dalam sukan wushu.

"Semasa darjah tiga, pihak sekolah mewujudkan kelas wushu sebagai salah satu kegiatan kokurikulum dan dari situ saya melibatkan diri dalam sukan wushu," katanya.

Menurut Cheong Min dia memberikan fokus untuk terus serius dalam sukan wushu dengan membuat pengorbanan yang cukup besar.

"Semasa mula berlatih wushu, saya hentikan aktiviti lain termasuk kelas piano dan kelas tambahan untuk fokus kepada wushu.Walaupun saya terpilih menyertai pasukan kebangsaan orang lain tetap tidak percaya dengan pendirian saya dan mempertikaikan tindakan saya untuk teruskan dalam sukan ini.

"Meskipun ada yang tidak percaya dan mempertikaikan keputusan untuk terus mengikuti sukan ini setelah saya terpilih masuk pasukan kebangsaan. Saya tidak terpengaruh oleh pandangan negatif tersebut. Saya tetap dengan pendirian dan percaya kepada diri sendiri dan terus bekerja keras untuk membuktikan kemampuan saya.

"Saya sangat bersyukur walaupun ibu bapa saya sibuk, mereka sentiasa memberikan sokongan kepada saya dalam sukan wushu. Mereka tidak pernah memaksa untuk berhenti atau menghalang minat saya," katanya.

Menurut Cheong Min, faktor kunci utama membantu dirinya mencapai kejayaan dalam sukan wushu adalah melalui pengalaman dan kemahiran.

"Latihan secara konsisten setiap hari kunci untuk memperkuatkan kemahiran dan membiasakan diri dengan tahap kesukaran. Latihan yang kami terima pada Mac tahun ini di Tianjin China membolehkan kami fokus belajar banyak benda dan mematangkan kemahiran yang ada serta meningkatkan keseimbangan dan tahap kesukaran.

"Saya ada satu rahsia sebelum setiap perlawanan saya akan menghadap dinding, pejam mata dan bayangkan rutin penuh yang saya akan lakukan. Teknik ini diajar jurulatih dari China dan digunakan sejak 2014.

"Atlet kelahiran Melaka itu juga berkata dia tidak menyangka dinobatkan Olahragawati Kebangsaan 2019/2020 tahun lalu kerana dicalonkan dengan barisan atlet hebat lain seperti Farah Ann dan Datuk Pandelela Rinong."

Bagi Cheong Min anugerah itu sangat bermakna kerana orang ramai sedar akan kewujudan dirinya dan menganggap sebagai satu motivasi untuk dirinya terus maju dalam sukan wushu.

Cheong Min juga menasihati atlet muda untuk meletakkan 100 peratus fokus semasa latihan, bersedia dengan segala kemungkinan dan paling penting percaya pada diri sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 12:59 PM