CHEONG Min cemerlang di Sukan Sea Kemboja. FOTO FATHIL ASRI
CHEONG Min cemerlang di Sukan Sea Kemboja. FOTO FATHIL ASRI
Wan Izzati Amir


Kuala Lumpur: Selepas layak dilabel sebagai atlet terbaik Sukan Sea Kemboja dengan pungutan emas berganda, Tan Cheong Min, 25, kini berazam menyumbang pingat lebih berprestij apabila beraksi di Sukan Asia Hangzhou, September depan.

Cheong Min yang menghadiahkan dua pingat emas buat kontinjen negara di Sukan Sea Kemboja, meneruskan sesi latihannya hari ini di Majlis Sukan Negara (MSN) selepas pulang Sabtu lalu.

Untuk rekod, Cheong Min menghadiahkan emas di Sukan Sea menerusi acara nanquan wanita dan acara gabungan nandao dan nangun wanita.

Juara wushu dunia itu mengakui latihan secara kerap sangat penting untuk memastikan kondisinya sentiasa bersedia.

"Jika tersenarai dan diberikan peluang sudah tentu saya akan berusaha mendapatkan pingat untuk negara.

"Saya akan buat yang terbaik dan jika boleh saya mahu elakkan membuat sebarang kesilapan yang boleh membuatkan markah dipotong," katanya.

Atlet kelahiran Melaka itu juga berkata kesilapan yang dilakukannya pada Sukan Asia Indonesia 2018 memberi pengajaran berguna buat dirinya.

"Sejak kejadian 2018 saya tidak menetapkan sebarang sasaran yang tinggi seperti memenangi pingat.

"Saya hanya memastikan untuk buat yang terbaik dan mengelakkan sebarang kesilapan dan jika menang pingat itu bonus buat saya.

"Sama seperti di Sukan Sea Kemboja, saya tidak menyangka akan memenangi dua pingat emas selepas menunggu empat tahun, itu satu pencapaian yang baik," katanya.

Atlet wushu yang menyertai kem kebangsaan sejak 2013 itu berkata, dia sentiasa meletakkan kepercayaan yang tinggi pada dirinya sendiri setiap kali menyertai sebarang kejohanan.

Menurut Cheong Min, selain fokus untuk Sukan Asia dan kejohanan dunia, dia juga berharap agar suatu hari nanti sukan wushu akan disenaraikan antara sukan di dalam Sukan Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 5:45 PM