Phnom Penh:Juara wushu dunia, Tan Cheong Min menepati ramalan apabila memenangi pingat emas Sukan Sea di Kemboja dalam acara kegemarannya Nanquan hari ini.

Atlet berusia 25 tahun itu tampil dengan aksi sempurna apabila meraih mata tertinggi dengan mengumpul 9,626 mata yang berlangsung di Dewan A Pusat Konvensyen Chroy Changvar, di sini.

Pencabar terdekat dari Indonesia, Tasya Ayu Puspa Dewi pula sekadar berpuas hati dengan pingat perak dengan catatan 9.593 mata, manakala gangsa milik Myanmar, Aye Thitsar Myint dengan 9.143 mata.

Jelas Cheong Min yang berasal dari Melaka itu, dia cukup puas dapat menebus kekecewaan selepas acara Nanquan tidak dipertandingkan pada dua temasya lalu di Filipina 2019 dan Vietnam tahun lalu.

"Saya cukup berpuas hati dan gembira dengan persembahan saya kerana akhirnya saya mendapat pingat emas Sukan Sea pertama saya dan memberikan pasukan pingat emas pertama daripada Wushu.

"Saya agak sedih dan terkilan apabila acara saya tidak ditawarkan dalam dua Sukan Sea yang lalu, sekarang saya berpeluang mewakili Malaysia dan memenangi pingat.

"Sebelum datang ke sini, orang ramai berkata mudah untuk saya menang memandangkan saya juara dunia tetapi realitinya dalam wushu, semua orang berpeluang untuk menang," katanya.

ATLET terjun negara, Muhammad Syafiq Puteh (kanan) memenangi pingat emas manakala Gabriel Gilbert Daim memenangi gangsa 3m papan anjal.
ATLET terjun negara, Muhammad Syafiq Puteh (kanan) memenangi pingat emas manakala Gabriel Gilbert Daim memenangi gangsa 3m papan anjal.

Mengulas mengenai persembahannya, Cheong Min berkata dia berjaya mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan sekali gus elak dipotong mata.

"Tahap pesaing lain agak tinggi di sini tetapi saya tidak terlalu memikirkan pihak lawan kerana saya fokus kepada persembahan saya.

"Tiada potongan mata untuk kali ini dan saya cukup gembira untuk itu. Setiap atlet akan menyasarkan kemenangan tetapi dalam sukan ini anda perlu memastikan ia tiada potongan mata.

"Selepas itu anda boleh fokus untuk memenangi pingat emas. Saya bangga memenangi pingat emas untuk Malaysia dan saya berharap untuk menang dalam acara saya lain selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 4:14 PM