Ahmad Amsyar Azman memeluk bapanya, Azman Hassan selepas merangkul pingat emas. FOTO HM/AIZUDDIN SAAD
Ahmad Amsyar Azman memeluk bapanya, Azman Hassan selepas merangkul pingat emas. FOTO HM/AIZUDDIN SAAD
Saiful Affendy Sapran


“INI hadiah yang paling tidak dapat saya lupakan dari Allah.”

Demikian ungkapan pertama penerjun negara Ahmad Amsyar Azman yang memenangi pingat emas acara 1 meter papan anjal individu lelaki pada ulang tahun kelahiran ke-25 hari ini.

Amsyar mempamer terjunan kemas dengan memungut 384 mata selepas enam terjunan.

Seorang lagi peserta negara Ooi Tze Liang yang menjadi pilihan utama untuk memenangi acara ini sekadar meraih perak dengan catatan 368.60 mata.

Jelas Amysar, emas yang dimenangi hari ini adalah yang pertama dalam pertama dalam acara individu sepanjang menyertai temasya dwi tahunan ini.

“Saya tak boleh meraikan ulang tahun kelahiran ini kerana esok ada satu lagi acara (3 meter papan anjal seirama).

“Pada saingan tadi, saya langsung tidak melihat papan markah sebaliknya hanya fokus kepada diri sendiri.

“Saya tahu Tze Liang adalah pencabar terdekat tetapi saya berjaya untuk kekal tenang sepanjang saingan hari ini. Alhamdulillah, emas akhirnya milik saya,” katanya.

Sementara itu, kesilapan pada terjunan ketiga ternyata banyak memberi kesan kepada Tze Liang sebelum bangkit pada baki tiga terjunan selepas itu untuk meraih perak.

Peserta Singapura, Mark Lee Han Ming meraih gangsa apabila mengumpul 350.55 mata.

Malaysia juga membolot dua emas lagi yang dipertandingkan hari ini sekali gus meneruskan dominasi apabila setakat ini menyapu bersih kesemua lapan emas selepas tiga hari berlangsungnya acara terjun.

Ratu terjun negara Pandelela Rinong meraih emas menerusi acara 10 meter platform individu wanita mengatasi Freida Lim Shen Yan dari Singapura yang memenangi perak dengan catatan 274.65 mata.

Rakan senegara Pandelela, Kimberly Bong Qian Ping pula meraih gangsa dengan catatan 255.05 mata.

“Sebenarnya bukan senang untuk mempertahankan emas sepanjang lima edisi Sukan SEA yang saya sertai,” kata Pandelela.

Sementara gandingan Jasmine Lai Pui Yee-Muhammad Syafiq Puteh memenangi pingat emas acara 3 meter papan anjal seirama campuran dengan catatan 284.94 mata.

Jasmine-Muhammad Syafiq mengatasi gandingan Singapura Ashlee Tan Yi Xuan-Joshua James Chong yang meraih perak selepas mengumpul 243.84 mata.

Gangsa milik peserta Vietnam, Vu Anh Duy-Ngo Phuong Mai yang meraih 234.45 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 9:10 PM