ATLET terjun negara, Ooi Tze Liang dengan pingat emas dimenangi dalam acara 1m papan anjal individu lelaki di Sukan Sea Hanoi di Pusat Akuatik My Dinh, hari ini. FOTO Bernama
ATLET terjun negara, Ooi Tze Liang dengan pingat emas dimenangi dalam acara 1m papan anjal individu lelaki di Sukan Sea Hanoi di Pusat Akuatik My Dinh, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Hanoi: Atlet terjun kebangsaan, Ooi Tze Liang tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas merangkul pingat emas Sukan Sea yang ke-13 peribadinya di Pusat Akuatik My Dinh, di sini, hari ini.

Kejayaan hebat itu dilakar selepas beliau mendominasi saingan final acara 1 meter (m) papan anjal lelaki Sukan Sea ke-31 di Hanoi, hari ini, sekali gus membutirkan emas ketiga kontinjen negara pada temasya sukan dwitahunan itu.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di sini, Tze Liang berkata, dengan kejayaan membawa pulang emas ke-13 itu, beliau menyempurnakan misinya di Sukan Sea.

"Saya rasakan misi saya sudah tercapai. Saya rasa saya penerjun pertama dapat semua pingat, daripada acara platform ke papan anjal, papan anjal individu ke seirama.

"Jadi dah boleh kata legenda lah kot," katanya sambil tertawa.

Pada aksi final hari ini, penerjun berusia 28 tahun itu menampilkan persembahan terpuji dengan mengumpul 377.70 mata dalam keseluruhan enam terjunan untuk menewaskan enam penerjun lain.

Pingat perak acara itu dimenangi atlet Singapura, Avvir Tham Pac Lun yang mengutip 286.40 mata sementara seorang lagi wakil negara Betrand Rhodict Anak Lises berjaya membawa pulang pingat sulungnya di pentas Sukan Sea selepas meraih gangsa apabila mengutip 284.90 mata.

Sementara itu, Tze Liang mengakui berpuas hati hati dengan persembahan dipamerkan walaupun berdepan cabaran dalam persiapannya ke Hanoi ekoran pandemik Covid-19.

"Kami sudah lama tidak menyertai pertandingan dan ia menjadi antara cabaran terbesar, tetapi saya gembira dengan prestasi hari ini.

"Selama saya menyertai Sukan Sea, ini adalah pingat emas 1m pertama saya dan pingat emas ke-13 (keseluruhan)," katanya.

Pingat emas diraih Tze Liang hari ini adalah emas kedua peribadinya di Hanoi selepas turut menjuarai acara 3m papan anjal seirama lelaki bersama gandingan Chew Yi Wei, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 8:32 PM