SYAFIQ  dan Wendy bersama pingat emas dimenangi. - FOTO Rosdan Wahid
SYAFIQ dan Wendy bersama pingat emas dimenangi. - FOTO Rosdan Wahid
Iskandar Shah Mohamed


GANDINGAN Muhammad Syafiq Puteh-Wendy Ng beraksi cemerlang dengan menghadiahkan pingat emas ketiga Malaysia dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama campuran Kejohanan Terjun Grand Prix FINA, malam ini. 

Dalam aksi final di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, dua penerjun kebangsaan ke Sukan SEA Filipina itu menyempurnakan lima terjunan dengan mengumpul 299.22 mata. 

Pingat perak pula diraih gandingan Russia, Ilia Molchanoc-Elizaveta Kuzina dengan kutipan 287.40 mata manakala gangsa milik Jonathan Suckow-Michelle Heimberg dari Switzerland (281.10).  

Muhammad Syafiq berpuas hati dengan pencapaian itu yang dianggap turut hampir mencecah tahap terbaik iaitu 300 mata. 

"Saya sebelum ini sememangnya sudah memberitahu Wendy supaya hanya melakukan terjunan yang terbaik.   Alhamdulilah, kami berjaya meraih emas buat negara dan memberi suntikan semangat baharu ke Filipina nanti," kata atlet berusia 24 tahun itu.  

Kelmarin, kem negara memperoleh emas sulung menerusi Ooi Tze Liang bagi acara 3m papan anjal individu lelaki dengan turut menewaskan penerjun China.  

Rentak kecemerlangan itu diteruskan Tze Liang dengan menghadiahkan emas kedua bersama gandingannya, Chew Yiwei dalam acara 3 m papan anjal seirama lelaki, semalam. 

Kejohanan selama tiga hari berakhir malam ini menyaksikan penyertaan penerjun dari 12 negara termasuk China, Jepun, Russia, Perancis dan Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 9:04 PM