MOHD Manshahar ketika sidang media KOM mengumumkan atlet ke Sukan SEA 2019 Filipina di Wisma MOM. FOTO Owee Ah Chun
MOHD Manshahar ketika sidang media KOM mengumumkan atlet ke Sukan SEA 2019 Filipina di Wisma MOM. FOTO Owee Ah Chun
Iskandar Shah Mohamed


KETUA jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil yakin skuad bimbingannya menerusi kategori B turut berpeluang cerah meraih pingat dalam temasya Sukan Sea Filipina 2019.

Perkara itu dinyatakannya selepas meneliti potensi dimiliki sebahagian atlet dalam kategori itu yang memiliki pencapaian dan ranking terbaik di Asia Tenggara.

“Saya berani membuat ‘pertaruhan’ itu kerana kategori B dilihat sebagai prospek untuk meraih pingat tanpa mengira warna apa selain dijangka turut memberi saingan kepada atlet negara lain.

“Sebagai contoh, pasukan ‘relay’ (lari berganti-ganti) kita sama ada acara 4x100 dan 4x400 meter (m) juga memiliki ranking yang baik. Saya yakin mereka akan membantu Malaysia dalam pungutan pingat di Filipina nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Manshahar berkata, kontinjen olahraga sedang membuat persediaan rapi terutama selepas selesai Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan, bulan lalu.

“Atlet dan jurulatih sememangnya sudah jelas mengenai perancangan masing-masing termasuk berkaitan aspek latihan dan prestasi,” katanya.

Berdasarkan senarai akhir dimuktamadkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hari ini, seramai 22 atlet lelaki dan wanita bagi kategori B layak ke Sukan Sea Filipina merangkumi keseluruhan 48 atlet.

Ia merangkumi pasukan 4x100 m lelaki iaitu Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Nixson Kennedy.

Pasukan wanita bagi acara itu turut berpotensi meraih pingat menerusi Siti Fatimah Mohamad, Zaidatul Husniah Zulkifli, Raja Nursheena Raja Azhar dan Azreen Nabila Alias.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 10:17 PM